Wednesday, February 4, 2009

‘Mak cik tetap lega’


KUALA KANGSAR: “Walaupun tidak dapat menatap buat kali terakhir wajah anak kesayangan, mak cik tetap lega kerana jenazahnya selamat disemadikan dengan sempurna selepas menanti selama hampir setahun.

“Mak cik pasrah apa yang berlaku dan menganggap ia ketentuan Ilahi dan percaya ada hikmah di sebalik semua ini,” kata Marthiah @ Saadiah Mat Piah, 63, ibu kepada A Fairos Ahmad Sulaiman, 37, wanita yang mati dibunuh di Ranong, Thailand.

Jenazah arwah tiba di kampungnya di Kampung Temong Hilir, Enggor di sini kira-kira jam 7.30 malam tadi dan disembahyangkan di Masjid Al Syakirin sebelum dikebumikan selepas solat Isyak.

Seramai kira-kira 100 kenalan dan sanak saudara menanti ketibaan jenazah arwah yang bertolak dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 2.30 petang yang diiringi adiknya, A Rahimi, 35.

Turut menziarahi keluarga arwah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderoh, Datuk Siti Salmah Mat Jusak. 

Sementara itu, adik bongsu arwah, Ahsani, 32, berkata dia berterima kasih kepada seorang lelaki warga Australia, Mark Rotherham yang memaksa pihak berkuasa Thailand membuka semula fail kes kakaknya.

“Fail kes kehilangan kakak saya sudah ditutup polis Ranong dengan alasan kakak saya masih berada di Thailand, namun lokasinya sukar dijejaki kerana sering berpindah-randah.

“Bagaimanapun, Mark yang juga bekas anggota polis di Australia memaksa mereka (polis Ranong) membuka semula fail kes itu selepas mengesyaki ada sesuatu tidak kena mengenai kehilangan kakak saya,” katanya.

“Dia banyak membantu kami memberi maklumat perkembangan kes arwah sehinggalah kes ini selesai,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090204092130/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...