Wednesday, February 11, 2009

Ayam betina bertukar `tomboi’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my

taji pada kedua-dua kakinya." title="BERTAJI...ayam betina secara tiba-tiba tumbuh
taji pada kedua-dua kakinya." height="409" width="300" border="0">
BERTAJI...ayam betina secara tiba-tiba tumbuh 
taji pada kedua-dua kakinya.

JITRA: Pelik dan penuh misteri! Inilah ungkapan paling tepat menggambarkan fenomena aneh yang berlaku pada seekor ayam betina di Kampung Kota Rentang, yang bertukar menjadi ayam jantan, sejak setahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan ayam pelik terbabit digelar ‘Tomboi’ oleh pemiliknya, Abu Bakar Said, 70, mula menyedari perubahan berkenaan kira-kira lapan bulan lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan disedari Abu Bakar apabila ayam betina berusia tiga tahun itu berkokok di hadapan rumahnya membuatkan dia dan isterinya, Aishah Darus, 61, terkejut.

Abu Bakar berkata, ketika itu dia sedang berehat di hadapan rumahnya apabila ayam betina terbabit tiba-tiba berkokok beberapa kali sebelum dia berusaha menangkapnya dengan bantuan isterinya.

“Sebaik berjaya menangkapnya, saya memeriksa dan mendapati kaki ayam kami mula ditumbuhi taji sepanjang kira-kira dua sentimeter (sm). 

“Ekor ayam berkenaan menjadi panjang iaitu daripada 6sm kepada 26sm. Siapa tidak terkejut dengan kejadian seperti ini,” katanya.

Dia mendakwa ayam peliharaannya itu sudah bertelur tiga kali sebelum ini dan memiliki lebih 10 anak yang sudah dijual.

“Saya hairan kenapa ia boleh bertukar jantina secara tiba-tiba. Apa pun sejak hari itu, ayam betina ini tidak lagi bertelur atau mengawan dengan mana-mana ayam jantan yang lain.

“Saya akui sukar menentukan jantina sebenar ayam ini. Namun, kokokannya serupa dengan ayam jantan yang lain, namun lebih pendek (berbanding ayam jantan),” katanya.

Abu Bakar berkata, ayam setinggi 42sm dan seberat kira-kira 1.7 kilogram (kg) itu menjadi haiwan peliharaan paling disayanginya.

“Malah, kewujudannya kini seolah-olah membawa tuah kepada saya dan keluarga. Saya tidak tahu sama ada secara kebetulan atau sebaliknya, rezeki saya sememangnya bertambah sejak hari itu.

“Mungkin ini anugerah Allah yang membuktikan kekuasaan-Nya selain sentiasa mengingatkan saya melakukan kebaikan,” katanya.

Abu Bakar berkata, ayam berkenaan sebenarnya dihadiahkan saudaranya yang juga kaki sabung ayam kira-kira dua tahun lalu bersama seekor ayam jantan.

“Menurut saudara saya itu, ayam ini dibawa dari negara jiran dan dihadiahkan kepada saya kerana dia tidak lagi menyabung ayam. Saya menerimanya dan memelihara ayam ini sebagai hobi saja,” katanya.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi berkata, tiada perkara yang aneh dan pelik berlaku di muka bumi ini sekiranya kita sentiasa berpegang kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

“Allah SWT itu maha berkuasa dan mampu menjadikan apa saja yang dikehendakinya. Jadi perkara itu bukanlah suatu yang pelik mahupun aneh.

“Mungkin Allah merubah haiwan itu dari ayam betina kepada ayam jantan bagi menunjukkan kekuasaan-Nya untuk mengingatkan manusia di atas muka bumi ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090124/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...