sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Biadab! Seorang anak sanggup menampar dan mencekik leher bapanya hanya kerana tidak dibenarkan menggunakan kereta di sebuah rumah pangsa di Jalan Usahawan, Air Panas, Setapak.
Tindakan ganas remaja berusia 18 tahun itu menyebabkan bapanya yang berusia 60 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun, tiada pilihan kecuali membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini.
Malah, kejadian itu bukan pertama kali berlaku, tetapi sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Kejadian terbaru kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu ketika remaja itu cuba meminta kebenaran membawa keluar kereta, tetapi bapanya enggan meminjamkannya.
Sumber polis berkata, apabila permintaannya tidak dilayan, remaja berkenaan berpura-pura mahu mengambil barang dalam kereta berkenaan.
“Taktik remaja itu menjadi apabila bapanya bersetuju dengan syarat kunci kereta berkenaan dipegang ibunya.
“Bagi memastikan remaja itu benar-benar mengambil barang seperti didakwa, ibu remaja terbabit mengikutnya turun ke tempat letak kenderaan. Dia tiba-tiba mahu memandu kereta berkenaan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.
Namun, si ibu enggan menyerahkan kunci kereta seperti diminta menyebabkan remaja itu naik semula ke rumah.
Ketika itu, kata sumber itu, remaja terbabit yang dipercayai penagih dadah bertengkar dengan bapanya yang tetap enggan meminjamkannya kereta berkenaan.
Si anak yang naik angin mencampakkan kerusi, tetapi sempat dielak bapanya sebelum terjatuh.
Sebaik mendapati bapanya terjatuh, remaja berkenaan bertindak lebih kejam apabila menampar muka dan mencekik leher bapanya sekuat hati.
Bapa remaja itu tidak mengalami kecederaan serius.
Dalam aduannya, sumber itu berkata, mangsa mendakwa anak lelakinya itu sering mencuri barangan di rumah, termasuk tong gas dan bateri kereta untuk dijual.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
“Polis sedang mengesan suspek yang melarikan diri,” katanya.
Difahamkan, remaja berkenaan pernah mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210092556/Article/index_html
No comments:
Post a Comment