Wednesday, February 11, 2009

Pakatan Rakyat menanti rebah

KUALA LUMPUR: Pelbagai tohmahan buruk pemimpin Pakatan Rakyat (PR) terhadap pemimpin tertinggi mereka sendiri sudah menjelaskan keadaan pakatan berkenaan yang sudah semakin tenat dan tidak relevan serta menanti masa untuk rebah.

Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata berdasarkan kepada keadaan politik pembangkang yang semakin gawat, rakyat sudah boleh membuka mata mengetepi dan tidak lagi memberikan ruang kepada parti berkenaan menguasai mana-mana negeri di negara ini.

Menurutnya, apa yang diperoleh PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 tahun lalu berpunca daripada tohmahan dan dakyah putar belit pemimpin parti berkenaan dalam Internet, terutama Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia menyebabkan generasi muda terikut-ikut dengan apa yang diuar-uarkan walaupun ia tidak lebih kepada untuk memancing simpati supaya rakyat menyokong mereka.

“Bagaimanapun, keadaan ini akhirnya memakan diri apabila rakyat diperlihatkan dengan kejatuhan kerajaan PR di Perak minggu lalu yang kini kembali dikuasai BN,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. 

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam sidang media di pejabatnya, di Pulau Pinang, kelmarin, yang menganggap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak layak memimpin parti itu kerana mempromosikan budaya lompat parti.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu turut meminta Anwar bertaubat kerana perbuatan itu, malah PR sepatutnya memohon bagi mendapatkan seorang pemimpin baru, bukannya pemimpin yang mengamalkan budaya lompat parti.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090853/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...