Wednesday, February 11, 2009

BN yakin dapat rampas semula

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memastikan kerusi Parlimen Bukit Gantang yang jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-12 tahun lalu kembali semula ke tangan BN dalam pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat ini.

Keyakinan itu diluahkan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang percaya kerusi yang pernah menjadi kubu kuat Umno dan BN di Perak itu menjadi milik BN semula berdasarkan kepada senario politik semasa kini.

Beliau berkata, pertelingkahan di antara komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) yang menanti masa untuk berpecah dilihat antara faktor bakal memberi ruang kepada BN memenangi pilihan raya kecil berkenaan.

“Kita yakin akan mencapai kemenangan dan mengambil semula kerusi itu berdasarkan sentimen rakyat yang sudah bosan dengan tindak- tanduk parti pembangkang yang lebih gemar berpolitik.

“Apa yang nyata, percaturan politik di antara pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilihat lebih gemar untuk berpolitik berbanding berusaha membangunkan negara dan negeri Perak, khasnya bakal memakan diri mereka semula,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Wilayah diminta mengulas mengenai pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Perak, berikutan kematian penyandang Roslan Shaharum, 50, daripada Pas dipercayai akibat serangan sakit jantung, semalam.

Pada PRU tahun lalu, Allahyarham Roslan menewaskan calon BN, Datuk Mohd Azim Zabidi yang juga Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) daripada BN dengan majoriti 1,566 undi.

Berdasarkan daftar pemilih 2008, kerusi Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu, Kuala Sepetang, Changkat Jering dan Trong itu mempunyai 55,471 pengundi berdaftar yang mencakupi 63.57 peratus pengundi Melayu, 27.14 peratus (Cina) dan 9.12 peratus (India). 

Ketika ditanya mengenai peluang BN, Muhammad yakin dan percaya berdasarkan kepada keadaan politik di Perak selepas BN mengambil alih kerajaan negeri daripada PR, minggu lalu, dijangka membuka ruang lebih luas kepada BN untuk memenangi pilihan raya kecil itu.

Katanya, jentera BN sudah bersiap sedia bagi memastikan kerusi yang diperuntukkan kepada Umno itu dimenangi bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat yang sudah jelas melihat kemampuan BN mentadbir negara.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090911/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...