PUTRAJAYA: Persediaan rapi di peringkat awal akan menjadi asas persiapan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya kecil Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau, Kedah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Beliau berkata, semua pihak akan diarahkan untuk memainkan peranan masing-masing sebaik sahaja tarikh pilihan raya kecil kedua-dua kawasan berkenaan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Katanya, kerja keras dan kerjasama padu antara semua pihak amat perlu dalam memastikan kemenangan BN ke atas kedua-dua kerusi berkenaan.
“Kita buat seperti yang biasa kita lakukan semasa menghadapi pilihan raya. Jadi, bila tarikh dah ditetapkan maka semua akan melaksanakan peranan masing-masing. Yang pentingnya kita membuat persediaan mulai sekarang, kita perlu berusaha keras untuk memenangi kedua-dua kerusi berkenaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pegawai-Pegawai Muda Sektor Perkhidmatan Awam 2009 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Abdullah berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan BN dalam menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri (Dun) kawasan Bukit Selambau, masing-masing dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Kerusi Bukit Gantang kosong selepas Anggota Parlimen kawasan berkenaan, Roslan Shaharum, 50, meninggal dunia akibat serangan jantung di Batu Gajah, Perak, semalam manakala Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, V Arumugam melepaskan jawatannya berkuatkuasa serta merta semalam.
Allahyarham Roslan adalah Anggota Parlimen PAS manakala peletakan jawatan Arumugam yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas memenangi pilihan raya umum tahun lalu atas tiket Bebas, dilaporkan mempunyai kaitan dengan memorandum yang dihantar kepeda Sultan Kedah minggu lalu berhubung dakwaan salah laku moral membabitkannya.
Menjawab soalan pemberita mengenai pendekatan yang akan digunakan pada dua pilihan raya kecil berkenaan, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata, ia hanya akan diputuskan selepas perbincangan rapi bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin Umno yang lain.
“Kita belum membincangkan lagi mengenai calon, perlu bincang dengan (Datuk Seri) Najib dan pemimpin Umno yang lain serta jawatankuasa pengurusan.
“Lepas itu, kita akan tetapkan apa pendekatan yang akan diambil kali ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pendekatan yang sama tidak semestinya akan digunakan pada setiap pilihan raya kecil kerana ia tertakluk kepada situasi dan matlamat yang ditetapkan.
“Apa juga isu yang akan ditimbulkan bagi BN, kita perlu hadapi dan beri jawapan kepada apa juga isu yang akan timbul. Yang pentingnya kita mahu hadapi pilihan raya kecil ini dengan cukup persediaan,” katanya. / Bernama
Yang pentingnya kita mahu hadapi pilihan raya kecil ini dengan cukup persediaan
No comments:
Post a Comment