Wednesday, February 11, 2009

Gerombolan geng lanun bas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Keselamatan penumpang ketika menaiki bas awam kini diragui berikutan muncul kumpulan penjenayah digelar ‘geng lanun bas’ yang kerap menjadikan penumpang sebagai mangsa rompakan dan peras ugut.

Kumpulan penjenayah terdiri daripada warga asing itu dikesan kerap menjadikan bas yang kurang dinaiki penumpang sebagai ‘jerat’ untuk memerangkap mangsa sebelum dirompak.

Sumber polis berkata, dalam kejadian terbaru tengah hari semalam, seorang pekerja buruh binaan berusia 37 tahun menjadi mangsa apabila dirompak sekumpulan lelaki ketika menaiki bas.

Menurutnya, dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berasal dari Meru, Klang dikatakan menaiki sebuah bas dari Hentian Puduraya ke pusat tumpuan pelancong di KLCC.

“Difahamkan, ketika berada di dalam bas, mangsa duduk di tempat duduk paling belakang.

“Ketika itu, sekumpulan lelaki seramai lebih 10 orang menaiki bas berkenaan sebelum duduk mengerumuni mangsa yang terpinga-pinga,” katanya.

Menurutnya, suspek yang dipercayai warga India dan Myanmar kemudian meminta mangsa menyerahkan wang dan semua barang berharga dimiliki.

“Suspek dikatakan turut mengugut untuk memukul mangsa sekiranya mangsa menjerit atau enggan bekerjasama.

“Pada masa sama, kumpulan penjenayah itu kemudian meraba poket mangsa sebelum merampas dua telefon bimbit dan wang tunai lebih RM100 milik mangsa yang ketika itu berada dalam ketakutan,” katanya.

Menurutnya, suspek yang berlagak biasa kemudian turun dari bas berkenaan berhampiran kedutaan Thailand, Jalan Ampang dengan meninggalkan mangsa di dalam bas.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis di balai polis berhampiran berhubung kejadian itu,” katanya.

Dalam kejadian berasingan sebelum ini, dua lelaki warga Nepal turut menjadi mangsa apabila dirompak geng penjenayah sama ketika menaiki bas berhampiran Bukit Bintang.

Kedua-dua mangsa mendakwa kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai berjumlah RM7,000 serta telefon bimbit berjenama milik mereka disamun kumpulan terbabit.

Mangsa, Durga Bahadur Rimal, 28, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa dirompak tiga lelaki warga asing yang mendakapnya dari belakang sebelum menggeledah poket seluarnya.

Suspek kemudian segera terjun dari bas sebaik berjaya memperoleh barang berharga milik mangsa. 

Sebelum ini, seramai lapan anggota geng lanun bas yang bermaharajalela di sekitar Petaling Jaya diberkas polis pada 19 Disember lalu selepas cuba merompak seorang tukang jahit yang menaiki bas.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, seorang lelaki berusia 40-an didatangi sekumpulan lapan lelaki yang turut berada dalam bas sebelum merompak dan memaksanya turun dari bas dinaiki. 

Mangsa yang turun dari bas bagaimanapun terserempak seorang anggota polis trafik yang kebetulan berada berhampiran lokasi dan menceritakan kejadian yang berlaku.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210091959/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...