Wednesday, February 11, 2009

Lambang jahil

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Tindakan segelintir umat Islam mencemuh dan menghina saudara baru atau mualaf hanya menyebabkan orang asing lari daripada agama syumul itu, sedangkan mereka sendiri bukan menyayangi Islam sepenuhnya.

Perbuatan itu juga sekali gus melambangkan kejahilan masyarakat Islam yang tidak memahami konsep mualaf sepenuhnya selain memperlihatkan diri sendiri sebagai penganut kurang berkualiti meskipun mendapat bimbingan Islam sejak lahir. 

Perunding motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd, Ustaz Mohd Zawawi Yusoh, berkata segelintir masyarakat Melayu merasakan Islam hanya untuk orang sebangsa dengannya, berikutan itu penerimaan mereka terhadap saudara baru daripada bangsa lain kurang menyenangkan.

“Sepatutnya kita tidak boleh berfikiran sebegitu kerana Islam agama suci dan ia layak untuk semua golongan asalkan mereka sayang pada agama ini serta mahu mengamalkannya dengan sepenuh hati, tanpa menoleh sejarah lalu.

“Apabila ada pihak cuba mencemuh saudara baru ini hanya kerana dia memiliki ‘sejarah’ lama yang sukar dipadamkan sekali gus menggambarkan kita ini tidak faham konsep, sedangkan sendiri pun tidak sayang Islam sepenuhnya, malah enggan amalkan suruhan.

“Hidup bersama Islam, bukan kira lama atau baru. Kalau lama tapi tidak mengamalkan ajarannya, tetap juga dianggap tiada kualiti berbanding mualaf yang baru memeluk Islam tetapi bersungguh sayangkan agama ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Beliau berkata demikian mengulas kisah seorang mualaf di Kedah, Anas Phoon Abdullah, 30, yang hampir maut kerana menggelar tangannya untuk menghilangkan tatu warisan keluarga berikutan tertekan dengan cemuhan segelintir masyarakat Islam.

Harian Metro 30 Januari lalu melaporkan Anas menggelar tangannya lebih lima kali dengan pisau cukur bagi membuang tatu terbabit yang dimilikinya lebih 10 tahun lalu, sebelum dia memeluk Islam ketika berusia 20 tahun selepas tertarik dengan cara hidup Islam.

Mohd Zawawi yang juga penceramah terkemuka berkata, masyarakat perlu perbetulkan cara berfikir bagi mengelak salah faham yang boleh menghasilkan tindakan salah dan terpesong daripada hasil sebenar.

“Mualaf yang baru menganut Islam memang kena faham konsep feqah, tetapi umat Islam kena ubah cara fikir yang boleh mengundang salah faham kerana akhirnya kita tidak akan menghasilkan tindakan betul sebaliknya silap dan boleh menjauhkan orang daripada Islam.

“Penganut baru perlu didekati, dilayan dengan baik serta dibimbing ke arah kebaikan. Dalam kes Anas, dia sudah memiliki tatu sebelum masuk Islam justeru apabila dia menganut agama suci ini dengan sesungguh hati, maka dosanya diampunkan.

“Dengan syarat dia perlu bersungguh-sungguh bertaubat dan jalan hidupnya hanya berserah pada Allah. Selain itu, Anas perlu menutup tatunya itu bagi mengelak salah faham orang ramai,” katanya yang turut menasihati Anas supaya merujuk ustaz dan ahli agama untuk pedoman dan mendapat kekuatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090306/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...