Wednesday, February 11, 2009

Forum Remaja - Definasi Zakat.

Isnin, Februari 09, 2009


Forum Remaja - Definasi Zakat.


Forum Remaja - Definasi Zakat.

Assalammualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera.

Alhamdulillah, Syukur kehadrat Allah S.W.T Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Selawat dan Salam bagi Rasulullah S..A.W, Ahli keluarga Baginda dan Para Sahabatnya.

Tidak dapat dinafikan setiap kali di bulan Ramadhan, kita sentiasa dinasihatkan dan diberi banyak peringatan supaya menjaga puasa kita, solat lima waktu, memperbanyakkan solat sunat dan solat malam, berzikir, menimba ilmu dan memperbanyakkan bertadarrus al-Quran. Namun sering kali kita lalai dan alpa akan rukun Islam yang keempat, yang juga sangat penting dilaksanakan iaitu membayar zakat.

Rasanya kita semua sedia maklum yang zakat terdiri daripada 2 jenis iaitu Zakat Fitrah dan Zakat Harta. Yang ingin saya 'highlight' kan di sini kali ini ialah berkaitan dengan Zakat Harta kerana ramai di antara rakan-rakan yang sebaya dengan saya sudah mula dan akan bekerja dalam jangkamasa yang terdekat dan sudah mula mengumpulkan wang serta harta bagi menampung masa hadapan. Jadi mari kita 'recap' tentangnya.


Jadi apa harta yang wajib dizakatkan?

Ada 2 jenis zakat iaitu ZAKAT FITRAH DAN ZAKAT HARTA:

1. Zakat Fitrah

Pengertian:

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.


Syarat wajib zakat:

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Waktu mengeluarkan fitrah:

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

WAKTU WAJIB
Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

WAKTU YANG PALING AFDHAL
Sebelum sembahyang Hari Raya

WAKTU SUNAT
Sepanjang bulan Ramadhan

WAKTU MAKRUH
Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal

WAKTU HARAM
Selepas terbenam matahari satu Syawal


Kadar fitrah

Kadar fitrah pula bergantung kepada tempat/negara/ negeri. Di Malaysia kadarnya ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri. 


Pada kebiasaannya, bagi mereka yang masih belajar dan di bawah tanggungan ibu bapa, maka zakat fitrah mereka dibayar oleh bapa atau ibu mereka. Namun bukan bermakna mereka perlu melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada ibu bapa mereka. Ambil kesempatan yang ada untuk bertanyakan kepada ibu bapa masing-masing, sudahkah membayar zakat fitrah, sama-sama kita ingatkan.

Saya masih ingat lagi ketika di IPTA dahulu, saya sendiri membayar zakat fitrah saya di sana walaupun bapa saya sudah pun membayarnya. Namun tiada masalah sebenarnya kerana jika membayar lebih, maka duit itu dikira sedekah.


2. Zakat Harta

Jenis-jenis harta yang dikenakan zakat adalah seperti berikut:

Zakat Pendapatan
Zakat Wang Simpanan
Zakat Emas dan Perak
Zakat Saham
Zakat Perniagaan
Zakat Binatang Ternakan
Zakat Pertanian
Zakat Ma'adin, Kunuz dan Rikaz *

Ma'adin - Ialah segala galian yang diperolehi dari perut bumi sama ada beku atau cair di darat atau di laut.

Kunuz - Ialah harta yang tersimpan di dalam bumi (harta karun).

Rikaz - Ialah harta benda yang tersimpan di dalam bumi dan terdapat tanda-tanda yang menunjukkan ia tersimpan sebelum kedatangan Islam. (Jumhur ulama mengatakan semua jenis simpanan jahiliah)


SYARAT WAJIB ZAKAT HARTA


1. Islam

2. Merdeka

3. Sempurna Milik

4. Hasil usaha yang baik sebagai sumber zakat.

Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan pengajian yang merangkumi upah, gaji, bonus, elaun, komisen, pemberian, ganjaran profesional, hasil sewaan, perkhidmatan dan sebagainya. Pendapat para fuqaha' menyebutkan semua hal berkenaan pendapatan dan penggajian disebut sebagai 'mal mustafad' iaitu perolehan baru yang termasuk dalam takrifan sumber harta yang dikenakan zakat.

5. Cukup nisab..

Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk mata wang yang disandarkan kepada emas.

6. Cukup haul (cukup setahun masanya).

Jangka masa setahun adalah jarak untuk mempersatukan semua hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dalam hal ini, apa yang lebih penting ialah seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya harta wang simpanan ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.


ZAKAT PENDAPATAN


Pendapatan bermaksud perolehan yang merangkumi pendapatan gaji dan pendapatan bebas seperti pendapatan ahli profesional. Walau bagaimanapun perolehan hasil harta yang tidak mempunyai struktur zakatnya tersendiri dan juga sumbangan daripada mana-mana pihak jua sekalipun adalah juga diserapkan dalam perbincangan ini. Kesemuanya ini dibincangkan sekaligus kerana persamaan asasnya yang menjadikan hukum bagi kesemuanya adalah sama.

Pengertian gaji ialah pendapatan pengajian seseorang yang merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau syarikat atau institusi.
Contoh:
* Gaji tahunan
* Tunggakan gaji
* Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat)
* Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan yang berkaitan dengan penggajian.

Pendapatan bebas ialah pendapatan seseorang melalui sesuatu kerja atau usaha kepakaran atau perkhidmatan yang merupakan ganjaran daripada khidmatnya.

Contoh:
* Khidmat guaman
* Khidmat nasihat
* Juru perunding
* Rawatan perubatan
* Kejuruteraan
* Seniman
* Lain-lain


Jadi bagaimana membayarnya?

KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT PENDAPATAN

Terdapat beberapa garis panduan mengira zakat pendapatan:

KAEDAH 1

2.5 % atas jumlah pendapatan kasar setahun.

CONTOH:

Jika jumlah pendapatan kasar dari sumber setahun ialah sebanyak RM33,800.00, maka zakatnya sebanyak RM33,800.00 x 2.5 % = RM845.00



KAEDAH 2

Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan- perbelanjaan asas yang dibenakan (berlandaskan kaedah penolakan yang dibenarkan).

CONTOH:

Jumlah Pendapatan dari semua sumber dalam setahun (Gaji, elaun, bonus, lain-lain) = RM38,800

Jumlah Perbelanjaan yang dibenarkan dalam setahun (Diri, Isteri, Anak-anak, Ibu Bapa, Caruman KWSP, Caruman Tabung Haji) = RM21,000

Jadi pendapatan bersih = RM38,800 - RM21,600 = RM17,200 (melebihi nisab RM6400)

Maka zakat yang wajib dibayar ialah 2.5% x RM17,200 = RM430


Tetapi sekarang lebih mudah, sebab zakat pendapatan kini boleh terus dipotong setiap bulan daripada gaji kita, jadi cuba periksa sama ada zakat pendapatan kita ini dipotong setiap bulan ataupun tidak. Jika tidak, boleh diatur dengan majikan dan pusat pungutan zakat negeri.


ZAKAT WANG SIMPANAN


Jika keenam-enam syarat wajib zakat harta di atas lengkap, maka perlu dizakatkan wang simpanan kita. Tidak kira berapa banyak akaun simpanan yang kita ada, tetapi jika jumlah kesemua wang simpanan kita melebihi nisab RM6400 dan cukup setahun haulnya maka perlu dizakat 2.5% daripada jumlah kesemua wang simpanan itu.

CONTOH:

Setelah cukup 1 tahun tempohnya, jumlah wang di:

Akaun Simpanan 1 = RM2,000
Akaun Simpanan 2 = RM3,000
Akaun Simpanan 3 = RM2,000
Akaun Simpanan Tetap / Amanah Saham = RM3,000

Jumlah Besar Wang Simpanan = RM10,000 (melebihi nisab RM6,400)

Jadi jumlah yang perlu dizakat = 2.5% x RM10,000 = RM250


Selalunya untuk pelajar-pelajar universiti, wang simpanan inilah yang lupa untuk dizakatkan. Tetapi sekiranya bapa mereka sudah mengambil kira wang simpanan ini dan dibayarkan jumlah zakatnya, maka tiada masalah sama sekali. Jika tidak, pelajar itu sendiri yang perlu membayar zakat wang simpanan ini sebab ada juga di kalangan rakan-rakan saya yang wang simpanan mereka kini sudah lebih daripada RM10,000 dan sudah cukup haulnya tetapi masih belum dibayar zakat olehnya ataupun bapanya. Jadi cuba periksa, sudahkah membayarnya?

Bagaimana pula dengan wang biasiswa? Pendapat majoriti ulama dan fatwa semasa mengatakan wang biasiswa itu adalah wang bantuan daripada kerajaan atau mana-mana badan kepada pelajar-pelajar dan tidak perlu dizakatkan kerana pada kebiasaannya setelah cukup setahun, wang biasiswa itu pasti akan habis digunakan atau tidak cukup nisabnya (tidak cukup RM6400) untuk dikira wajib bayar. Tetapi jika wang biasiswa itu sangat lumayan dan setelah digunakan dan cukup setahun, jumlah lebihannya masih banyak (melebihi RM6400), maka boleh dizakatkan. Tetapi pendapat ulama masih kuat mengatakan tidak perlu dizakatkan wang biasiswa pelajar-pelajar kerana itu adalah wang bantuan.


ZAKAT EMAS & PERAK

Zakat diwajibkan ke atas pihak yang memiliki emas dan perak apabila sampai nisab dan telah cukup haul setahun.

KAEDAH KIRAAN ZAKAT EMAS & PERAK:

* Emas Perhiasan Wanita

Emas perhiasan wanita ialah emas yang dibeli atau digunakan sebagai perhiasan di badan. Kadar uruf emas bagi pemakaian perhiasan tersebut diambil kira. Jika kadar pemakaian itu tidak mencapai atau melebihi kadar uruf, maka tidak wajiblah membayar zakat emas perhiasan tersebut. Kadar uruf emas di negeri Selangor dan Perak ialah sebanyak 800 gram.

CONTOH:
(Timbangan emas x harga semasa x 2.5%)
900 gram x RM50 = RM45000 x 2.5% = RM1125


Emas Yang Disimpan

Bermaksud emas yang selain daripada perhiasan wanita yang dipakai di badan samaada dalam bentuk mata wang, simpanan, galian, peralatan rumah dan sebagainya.

Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah yang ada sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya iaitu 85 gram. Ia tidak sama dengan emas perhiasan yang dipakai. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram.

CONTOH:
Timbangan emas x harga semasa x 2.5%
90 gram x RM50 = RM4500 x 2.5% = RM112.50


Perak

Bagi logam perak, samaada dipakai sebagai barang perhiasan ataupun tidak (disimpan sebagai perhiasan di rumah), maka pengiraannya adalah berdasarkan nilai barang perak tersebut. Nisab bagi perak adalah sebanyak 595 gram atau lebih.

CONTOH:
800 gram perak x RM0.90(segram) x 2.5% = RM18


Jadi mudah sahaja kan untuk memahami syarat-syarat dan pengiraan zakat harta. Kesemua maklumat di atas, saya ambil daripada Lembaga Zakat Selangor dan Perak. Saya sekadar menyampaikan sahaja kepada yang lain sebagai ilmu dan peringatan. Zakat Saham, KWSP, Pertanian dan Penternakan juga perlu kita ketahui.

Untuk lebih maklumat tentang zakat, saya syorkan website lembaga zakat yang terbaik setakat ini, layari website Lembaga Zakat Selangor. Insya-Allah.



"Dalam penciptaan syurga-syurga dan bumi, dan pertukaran siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi mereka yang memahami: mereka yang mengingati Allah, berdiri, duduk, dan baring atas sisi mereka, dan mengungkap atas ciptaan syurga-syurga dan neraka: “ Tuhan kami, Engkau telah mencipta semua ini tanpa sia-sia. Maha Suci Engkau! Maka hindarkanlah kami daripada azab neraka.” 
(Qur'an, 3:190-191).


Oleh: Mujahidin Cyber

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...