PETALING JAYA: Pendirian Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh yang menggesa supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim berhenti daripada terus menerajui Pakatan Rakyat dilihat tidak mendapat sokongan beberapa pemimpin ikatan pembangkang itu.
Malah Karpal juga dilihat 'keseorangan' dalam menyatakan pendiriannya itu kerana pemimpin Pakatan Rakyat termasuk dari DAP sendiri menyatakan rasa terkejut dengan kenyataannya itu.
Penganalisis politik tempatan juga mentafsirkan situasi ini sebagai musibah yang melanda pakatan pembangkang yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS.
Bekas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr. Zainal Kling berpandangan bahawa Karpal dilihat seperti sedang 'diasingkan' olah pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.
Beliau berkata Karpal kini sudah tidak mendapat sokongan pimpinan Pakatan Rakyat mahupun pemimpin partinya sendiri.
"Kita dapat lihat seperti ada usaha untuk mengasingkan Karpal dalam Pakatan Rakyat.
"Ianya mungkin disebakan Karpal terlalu berpandangan radikal yang tidak dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin berkenaan namun kita tak pasti apa yang sebenarnya berlaku dalam kepimpinan mereka," katanya kepada mStar Online.
Semalam Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut mendakwa Anwar yang bertindak sebagai Ketua Umum telah mencetuskan budaya melompat parti selain menjejaskan 'keharmonian' dalam Pakatan Rakyat.
Malah Karpal juga meminta supaya Anwar bertaubat kerana menyebabkan anggota PKR dan DAP terperangkap dengan retoriknya yang menyokong perbuatan wakil rakyat melompat parti.
Lebih mengejutkan, karpal turut mengkritik Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng kerana bersekongkol dan menyokong tindakan Anwar.
Permintaan Karpal ini timbul selepas dua hari Barisan Nasional (BN) mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri Perak yang sebelum ini diterajui Pakatan Rakyat.
Tambah Zainal, walaubagaimanapun tidak dinafikan bahawa masalah ini wujud disebabkan kepimpinan Anwar yang terlalu ghairah untuk merebut wakil rakyat BN menyertai mereka selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu.
"Anwar terlampau ghairah nak tarik wakil rakyat BN, tapi akhirnya beliau sendiri yang menerima kesan buruk apabila orangnya sendiri yang keluar dari Pakatan.
"Cita-cita mereka tidak kesampaian malah mereka hilang satu daripada lima negeri yang mereka kuasai... ini satu tamparan yang amat hebat," katanya.
Ditanya sama ada masalah dalaman yang timbul ini akan menyebabkan Karpal bertindak melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP, beliau berkata perkara tersebut sukar diduga.
"Apa yang kita tahu Karpal merupakan seorang yang amat nekad dalam tindakannya hingga yang terbaru beliau mengeluarkan kenyataan untuk memfailkan saman terhadap Sultan Perak.
"Jadi soal lepaskan jawatan Pengerusi atau tidak itu terpulang kepadanya kerana beliau turut akui sudah tidak mendapat sokongan pemimpin dari partinya sendiri," katanya.
Jumaat lalu, Karpal melahirkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung pelantikan Menteri Besar baru.
Karpal mempertikaikan kuasa Sultan Perak dalam memperkenankan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar.
Dalam pada itu Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata tindakan menunding jari bagi menyalahkan individu-individu tertentu berhubung masalah yang timbul disifatkan sebagai panik.
Beliau berkata dalam mana-mana organisasi, situasi sedemikian akan timbul kerana masing-masing berasa terkejut dengan apa yang berlaku.
"Masing-masing cuba untuk menunding jari walaupun sedar semua pihak bersalah.
"Samalah dengan kes Karpal yang salahkan Anwar apabila mereka kehilangan Perak," katanya.
Sambil menyifatkan tindakan Karpal itu sebagai sekadar melepaskan diri sendiri, Ahmad turut mempersoalkan kesungguhan Karpal yang mengutuk budaya melompat parti.
"Kalau beliau nak salahkan Anwar yang menjadi penyebab kepada wakil rakyat lompat parti, mengapa tidak bangkang dari awal apa yang diusahakan Pakatan Rakyat sejak mereka menang besar pada pilihan raya umum yang lalu?
"Mengapa baru sekarang lahirkan perasaan bahawa budaya lompat parti sebagai tidak bermoral?
"Jelas sekali ia baru timbul selepas Perak kembali ke tangan BN dan DAP juga kehilangan seorang ADUN," katanya.
Katanya lagi Karpal sepatutnya lebih konsisten terhadap perjuangan yang diamalkan DAP bersama Pakatan Rakyat.
"Apa yang nyata suara Karpal lebih bersifat peribadi tanpa sokongan sebulat suara pemimpin Pakatan Rakyat mahupun DAP," katanya.
No comments:
Post a Comment