Wednesday, February 11, 2009

Karpal sengaja tonjol imej politik

SEPANG: “Harus kita maklum, Sultan Perak adalah seorang yang arif di sisi undang-undang, baginda adalah ketua hakim dulu dan semua peruntukan Perlembagaan Negeri Perak seperti di dalam dan luar tangannya, kena hormat dalam hal demikian. 

“Kuasa Sultan Perak adalah kuasa yang mutlak dan tidak dapat dipertikaikan di mahkamah,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Justeru, katanya tindakan Pengerusi DAP, Karpal Singh untuk memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah lebih kepada hasrat menonjolkan imej politik dirinya.

“Sebagai peguam yang berpengalaman dan mempunyai reputasi, Karpal seharusnya tahu peruntukan di bawah Artikel 16 (4) dan (6) Perlembagaan Negeri Perak, jika disekalikan adalah sangat kuat bagi Sultan Perak.

“Tapi beliau (Karpal) seperti biasa ingin mencanangkan imej beliau dan juga suara beliau, dia failkan satu kes, sekurang-kurangnya nama beliau terus ada dalam media,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Karpal untuk memfailkan saman terhadap Sultan Perak dan Barisan Nasional (BN) Perak berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perak.

Rais berkata, Perlembagaan Negeri Perak berlainan daripada perlembagaan negeri lain, ia lebih sejajar dengan perlembagaan di Perlis dan Terengganu khususnya peruntukan di bawah Artikel 16 (4) dan 16 (6) yang memberi sepenuh kuasa kepada raja atau sultan menentukan siapa menteri besar yang boleh baginda pilih atau dilantik.

“Dalam soal ini ada satu ayat yang mengatakan bahawa baginda sultan berkuasa mengenepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan Negeri Perak dalam melantik seseorang Menteri Besar. 

“Jadi dengan itu sekali gus, itu adalah kuasa mutlak yang kebanyakan kita tidak lihat dari dekat, jadi kita ingin menyatakan dengan adanya kuasa itu kalau Karpal Singh atau lima Karpal Sigh pun untuk saman sultan, akhirnya akan sama, kuasa itu ada di bawah perlembagaan secara asas dan peruntukan ini tidak didapati dalam perlembagaan yang lain,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090704/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...