izawan@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Orang ramai yang gemar menjamu selera di kopitiam sewajarnya peka sama ada premis itu mempunyai sijil pengesahan halal atau tidak.
Ini kerana, permohonan sijil halal bukan satu peraturan yang diwajibkan ke atas pengusaha sebaliknya ia dilakukan atas dasar sukarela.
Jurucakap Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) berkata, jika sesebuah premis itu memohon sijil pengesahan halal, mereka akan terikat dengan peraturan ditetapkan.
“Mereka perlu mematuhi prosedur ditetapkan dan tindakan akan diambil jika mereka melanggar peraturan itu mengikut Akta Perihal Dagangan termasuk sijil itu ditarik balik.
“Bagi pengusaha yang tidak membuat permohonan, kita tidak dapat mengambil sebarang tindakan kecuali jika kami menerima aduan mereka meletakkan perkataan ‘halal’ atau tanda lain menunjukkan ia makanan orang Islam tetapi yang dijual sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohd Ghazali Abdul Aziz, bahawa setakat ini tiada satu pun premis kopitiam beroperasi di negeri itu mempunyai Sijil Pengesahan Halal Jaip.
Lebih membimbangkan, kebanyakan kopitiam berkenaan diusahakan bukan Islam yang turut terbabit dengan proses penyediaan makanan atau minuman termasuk masakan panas yang dimasak terus di dapur premis.
Jurucakap itu berkata, bagi premis yang mendapat sijil pengesahan halal, pihaknya sentiasa mengadakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.
“Apa yang penting, pengguna sendiri sebenarnya mempunyai hak menentukan mahu makan di sesebuah premis itu sama ada ia mempunyai sijil halal atau tidak,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090210090335/Article/index_html
No comments:
Post a Comment