Friday, February 20, 2009

Makna hidup Ib

Lebih lima dekad menghambakan dirinya dalam bidang seni, Datuk Ibrahim Hussein adalah ikon terbilang.




'HIDUP tiada makna kecuali anda mempunyai jawapan kenapa anda menangis, kenapa anda ketawa.'

Demikian antara petikan ungkapan penuh bermakna yang tertera bersebelahan biografi pelukis agung negara, Datuk Ibrahim Hussein di laman web Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein yang ditubuhkan atas usaha payah jerihnya pada tahun 2000.

Semalam dunia seni halus negara bisu seketika. Karya-karya anak kelahiran Yan, Kedah ini juga kaku. Semuanya tergamam menerima perkhabaran duka pemergian Ibrahim atau lebih sinonim dengan gelaran Ib awal pagi semalam.

Masih gagah pada usia 72 tahun, namun penyakit jantung yang dihidapinya tanpa diketahui ramai orang, menjemput nafas terakhir Allahyarham di Hospital Pantai Bangsar, Kuala Lumpur. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Sim Hussein dan anak perempuan, Alia Ibrahim.

Allahyarham juga merupakan adik kepada Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein dan Tan Sri Ismail Hussein yang merupakan Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Kehebatan pelukis tersohor ini adalah satu legasi yang tiada tolok bandingannya. Dia adalah anak kampung yang hidup dalam kesusahan dan kepayahan. Dia juga bukanlah anak yang pintar dalam bidang akademik.

Namun, cita-cita, kesungguhan dan bakat semula jadinya akhirnya membolehkan lukisan anak kampung itu menghiasi dinding istana-istana raja dan rumah-rumah perdana menteri Malaysia.


RAJA MUDA PERAK Raja Nazrin Shah antara yang hadir memberi penghormatan terakhir untuk Allahyarham Ibrahim.


Gahnya karya-karya lukisan Ib yang menyorot perspektif dan nafas baru dalam seni tampak bukan sahaja dikagumi peminat dalam negara bahkan menarik minat pencinta seni lukisan dunia.

Lantaran itu, bukanlah menghairankan catatan diari pameran yang pernah diadakan Ib merentas pelbagai negara. Sekadar menyebut beberapa pameran antarabangsa yang meletakkan Ib sebagai pelukis dalam kelas tersendiri, beliau pernah mengadakan pameran hasil karyanya secara solo di Galeri John Wibley, 
IBRAHIM bersama isterinya, Sim Hussein.


London pada tahun 1962, Gallerie Internationale New York, Amerika Syarikat (1965), Newsweek Gallery, New York, Amerika Syarikat (1968), Dhait Abdullah Al Salam Galley, Kuwait (1977), Daruma Art Centre Copenhagen, Denmark dan Galerie Bortier, Brussels, Belgium (1983).


WARTAWAN Kosmo!, Johanna yang pernah menemubual Ibrahim pada tahun 2006.


Namun, karya agung Allahyarham tidak lain dan tidak bukan adalah penubuhan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein atau IHMCF. Beliau menumpahkan seluruh jiwa raganya dalam merealisasikan muzium yang terletak di kawasan seluas 16,000 kaki persegi di kawasan Hutan Gunung Mat Chincang dan berhadapan kehijauan air Laut Andaman di Pantai Pasir Tengkorak, Pulau Langkawi, Kedah itu.


HASIL karya Ibrahim dipamerkan di New York, Kuwait dan Denmark.


Pernah ditemu bual wartawan Kosmo! pada tahun 2006, Allahyarham mengakui IHMCF lahir daripada manifestasi seluruh kehidupannya.

"Untuk memulakan cerita bagaimana idea penubuhan yayasan ini bermula, biarlah saya ceritakan sedikit sebanyak berkenaan kehidupan masa lampau, bagaimana ia telah memberi kesan mendalam dan membentuk diri saya sekarang.

"Saya berasal daripada sebuah keluarga yang susah dan kehidupan kami sekeluarga ketika itu sememangnya amat sukar," kata anak kelima daripada enam beradik itu sewaktu diwawancara wartawanKosmo! Johanna A. Sobrey.


FIGURA yang dikagumi dalam bidang seni halus kerana kehebatan hasil karya lukisannya.





Cerita Allahyarham, ketika berusia awal 20-an, beliau hanya mahu diberi kebebasan melukis dan meluahkan perasaan dengan cara tersendiri tanpa sebarang harapan daripada sesiapa.

Namun, pelbagai tekanan termasuk masalah kewangan sentiasa membayangi diri beliau dan memaksanya mencari jalan untuk menampung kehidupannya.

"Contohnya, ketika di Sekolah Seni Byam Shaw, London, saya merupakan satu-satunya penuntut dari Asia. Ia adalah waktu yang sememangnya sukar dan penuh dengan kesunyian.

"Suatu ketika dahulu, saya pernah melakukan pelbagai kerja seperti penghantar surat untuk hidup. Ia satu pengalaman tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

"Kemudian, selepas mengecap pelbagai kejayaan daripada jatuh bangun pada usia muda, pada satu hari ketika sedang berenang di kolam renang rumah sambil memikirkan sejarah hidup dan pelbagai halangan serta kesukaran yang pernah dihadapi, timbul ilham untuk mewujudkan IHMCF," cerita Allahyarham. Selepas lapan tahun menumpahkan segala usaha dan berhabisan RM10 juta pada tahun 2000, IHMCF dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Dalam kesedihan kehilangan sebutir permata berharga dalam bidang seni halus, yang pasti, Ib telah menjalani hidup yang sangat bermakna. Allahyarham pergi dengan mengetahui jawapan kepada setiap tangisan dan ketawanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...