LONDON - Setelah sekian lama mendiamkan diri, Halimahton iaitu ibu kepada Sufiah Yusof, 24, gadis genius matematik yang menggemparkan dunia kerana pernah menjadi pelacur, akhirnya mendedahkan kisah sebenar anaknya itu.
Dia membuat pendedahan itu dalam laman web terbarunya,Learnerade. com, yang disiarkan kelmarin bagi memberi pengajaran kepada ibu bapa supaya tidak mengulangi kesilapan sama sepertinya.
Menurut Halimahton, dia membuat pendedahan itu kerana terdapat banyak berita dalam media yang tidak benar seperti dakwaan keluarganya tidak menghadiri perkahwinan Sufiah.
Dia berkata, ramai orang turut bertanya kenapa Sufiah memilih untuk mengikuti jalan yang dilaluinya walaupun dia mempunyai banyak kebolehan.
Halimahton yang berasal dari Muar, Johor turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menawarkan bantuan dan sokongan ketika kisah Sufiah menjadi pelacur dibongkar pada 2008.
Wanita itu turut menyatakan dia memutuskan untuk menceraikan suaminya dan bapa Sufiah, Farooq kerana perangai lelaki itu menjadi bertambah teruk setelah gadis genius matematik itu meninggalkan keluarga.
Sufiah mendapat tumpuan dunia apabila dia diterima memasuki Universiti Oxford ketika berumur 12 tahun pada 1997 tetapi kemudian tidak menamatkan pengajian dalam bidang matematik.
Gadis itu juga membuat keputusan berkahwin tetapi kemudian bercerai selain enggan tinggal bersama Halimahton dan keluarganya.
Menurut Halimahton, dia enggan membuat sebarang spekulasi kenapa Sufiah memilih untuk menjadi gadis teman sosial.
"Sufiah kini merupakan seorang dewasa dan apa jua keputusan yang dia mahu lakukan dalam kehidupan terpulang pada dirinya.
"Sufiah merupakan seorang anak yang baik dan saya berharap dia tidak berubah sejak dia berjauhan daripada sokongan keluarganya," kata Halimahton.
Halimahton juga berkata, Sufiah mempunyai hubungan baik dengannya dan adik-beradiknya yang lain tetapi menghadapi masalah dengan bapanya, Farooq.
Menurutnya, Sufiah menerima tekanan dan berdepan dengan sikap panas baran bapanya sejak dari kecil.
"Apa yang menyebabkan situasi menjadi lebih buruk adalah sikap Farooq yang tidak boleh diramalkan.
"Banyak kali dia bersikap baik dan seperti lelaki budiman tetapi terdapat situasi dia berkelakuan seperti seorang diktator yang ganas serta menindas," katanya.
Ketika berada di Universiti Oxford, Sufiah membuat keputusan untuk memakai tudung manakala Halimahton memberi sokongan terhadap pilihannya itu.
"Farooq berasa tidak senang hati. Itu mencetuskan satu lagi perbalahan," kata Halimahton.
"Sufiah menghadapi banyak tekanan ketika dia masih remaja dan seperti saya, dia tidak mempunyai kemampuan untuk mengubahnya," jelas wanita itu.
Pada tahun pertama di Oxford, Sufiah mendakwa dia tidak menerima beberapa keputusan penting peperiksaan, kata Halimahton.
"Namun, Farooq kemudian mendapati Sufiah mengelirukannya. Keputusan peperiksaan itu memang ada menyebabkan Farooq menjadi berang.
"Saya tidak tahu sepenuhnya apa yang berlaku tetapi Sufiah berasa amat kecewa dan saya percaya dia melindungi kemarahan terhadapnya (Farooq)," jelasnya.
"Saya berpendapat, Farooq berasa amat sombong ketika dia bersama dengan Sufiah, itu mungkin menyebabkan Sufiah berasa kecewa seperti anda boleh menjangkakan perasaan seorang gadis remaja," katanya.
"Sebaliknya, saya melihat Sufiah berasa gembira apabila bercuti ketika ditemani oleh saya dan anak-anak saya yang lain," jelas Halimahton.
Berikutan situasi tekanan yang semakin meningkat, Sufiah melarikan diri dari universiti ketika dia berumur 15 tahun.
"Sufiah memberitahu, kelakuan Farooq merupakan punca dia berbuat demikian," kata Halimaton.
Waktu itu merupakan waktu yang traumatik untuk keluarga itu dengan Farooq menyalahkan setiap orang kerana Sufiah melarikan diri, bukan dirinya.
Sufiah kemudian ditemui oleh polis dan dia memberitahu enggan untuk kembali ke Oxford dan menemui bapanya.
Gadis itu kemudian tinggal di Bournemouth tetapi Halimahton dan anak-anaknya kerap melawatnya.
Sufiah kembali ke Oxford selepas beberapa tahun dan memberitahu dia mahu berkahwin dengan Jonathan Marshall yang memeluk Islam menyebabkan hubungan dengan keluarganya menjadi bertambah baik.
Halimahton berkata, Sufiah kemudian bersedia untuk memaafkan Farooq.
Namun, hubungan Sufiah dengan bapanya masih tidak baik kerana terdapat beberapa isu yang tidak diselesaikan.
"Kami kemudian mengadakan mesyuarat keluarga di mana Iskander (adik Sufiah) dan saya menggalakkan Sufiah serta Farooq berkomunikasi secara baik," kata Halimahton.
Sufiah kemudian memberitahu Halimahton kenapa dia lari dari universiti dengan menjelaskan sikap Farooq terhadapnya pada masa lampau menyebabkan dia melarikan diri.
Iskander bertanya Sufiah apakah yang dia mahu daripada Farooq dalam satu perbincangan yang penuh emosi.
"Sufiah menyatakan dia hanya mahu Farooq meminta maaf berhubung cara dia melayannya dan semua anggota keluarga," kata Halimahton.
Farooq kemudian meminta maaf dan mereka berpelukan.
Namun, Farooq lupa dia sudah meminta maaf dan beberapa minggu kemudian, dalam satu perbincangan, dia melancarkan serangan kata-kata ke atas Sufiah, Halimahton dan kakak Sufiah, Aisha.
Ekoran Farooq lupa pada janjinya itu, Sufiah enggan memberikannya peluang kali kedua dan dia kemudian meninggalkan keluarganya semula.
"Bagi Sufiah, semua perkara memusnahkan dirinya selepas insiden buruk itu. Dia kemudian memberitahu kami bahawa dia dalam proses perceraian dan tidak mahu keluarga menghubunginya semula," kata Halimahton.
"Oleh kerana Sufiah masih seorang dewasa, kami menghormatinya hasratnya dan kami tidak mendengar apa-apa berita daripadanya selama empat tahun sehinggalah kami menerima berita bahawa dia menjadi seorang gadis teman sosial," katanya.
"Kesilapan besar saya ialah mungkin saya tidak meninggalkan Farooq (bercerai) lebih awal tetapi ia merupakan keputusan yang sukar untuk dibuat kerana anak-anak saya masih kecil ketika itu.
"Saya berasa takut apakah padah yang bakal berlaku kepada anak-anak saya," kata Halimahton.
"Apabila Farooq tidak ada, keluarga kami berasa gembira dan kami berasa amat rapat," katanya.
Kata-kata terakhir daripada Halimahton: "Saya berharap Sufiah akan datang (melawat) satu masa nanti tetapi kita perlu bersabar untuk tidak menekan sebarang isu."
Pada tahun lalu bapa Sufiah, Farooq yang berasal dari Pakistan dihukum penjara selepas didapati mencabul dua remaja perempuan yang menjadi pelajarnya dalam satu kelas tuisyen.
Halimahton kini menjual bukunya yang berjudul Genius in 28 Steps menerusi Internet yang mendedahkan cara untuk membimbing anak-anak menjadi genius.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0220&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm
No comments:
Post a Comment