Friday, February 20, 2009

Pelajar ‘bom’ kereta guru

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


ALOR STAR: Ketegasan seorang guru disiplin di sebuah sekolah di Ayer Hitam, dekat sini, mendisiplinkan pelajar bermasalah dibalas dengan kenderaan miliknya dilontarkan bom petrol, malam kelmarin.

Bom petrol itu dilontarkan pada kereta guru berkenaan sebagai amaran berikutan tindakannya merotan pelajar yang melanggar peraturan ketika sesi persekolahan.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, guru terbabit sedang menonton televisyen bersama keluarga di rumahnya di Kampung Teluk Tui, Jerlun, dekat sini, sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan di hadapan rumah.

Menurut sumber, guru berusia 40-an itu meluru keluar dari rumahnya sebelum melihat Proton Wiranya disambar api pada tayar belakang di bahagian kiri.

“Mangsa terkejut dengan kejadian itu dan tergamam seketika sebaik melihat api menyambar kenderaannya.

“Bagaimanapun, jeritan isterinya yang menyusul di belakangnya beberapa minit kemudian kembali menyedarkannya.

“Dia segera mengambil sebaldi air dan memadamkan kebakaran itu,”
katanya di sini, semalam.

Sumber itu berkata, guru terbabit sempat mendengar bunyi motosikal memecut meninggalkan rumahnya sejurus mendengar letupan itu, namun tidak dapat mengecam sesiapa atau nombor platnya kerana keadaan terlalu gelap.

“Mungkin perbuatan itu dilakukan pelajar yang tidak berpuas hati dengan tindakannya merotan mereka yang bermasalah.

“Malah, ketegasannya dalam mendisiplinkan pelajar juga disalahertikan pelajar yang berfikiran negatif,”
katanya.

Guru terbabit membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam, dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu.

“Siasatan sudah dimulakan sebaik kita menerima laporan dan kes ini kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090220092743/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...