Saturday, December 25, 2010

Apabila 'hantu' dijadikan hiburan

OLEH: DR AMINUDIN MANSOR


Fenomena bentuk hiburan semakin berubah. Manusia mula menggemari cerita seram, menakutkan dan cerita-cerita hantu. Permintaan kepada cerita seumpama ini dalam kalangan orang ramai sangat menggalakkan.

Pembikin drama dan filem mula mengalih arah dengan mengeluarkan pelbagai cerita seram dan hantu seperti Hantu Kak Limah Balik, Nyangkung, Saka Jentayu, Nyiang Rapik, Ningsun, Ceplos, Skrip 7707, Jangan Pandang Belakang Congkak, Janin dan sebagainya.
Filem dan drama ini ada unsur-unsur menakutkan, menyeramkan, suspens, kejutan dan sedikit lawak.

Bentuk hiburan baru ini mempengaruhi kebanyakan penonton Melayu yang gemar dengan unsur-unsur tahyul.

Apa yang dipersoalkan adalah sebanyak mana nilai pendidikan dan nilai murni terdapat dalam filem dan drama tersebut. Para penerbit dan juga pengeluar filem jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tetapi mestilah juga memikirkan akibat daripada tayangan tersebut kepada penonton khususnya kanak-kanak.

Di sekolah, dalam Komponen Sastera (Komsas) terdapat bahan pengajaran seperti cerpen, drama, novel dan juga cerita klasik yang banyak memaparkan pengajaran dan nilai-nilai murni. Tetapi di luar khususnya di televisyen dan filem 80 peratus cerita mengandungi unsur seram dan tahyul.

Tidak salah menayangkan drama dan filem yang mengandungi unsur seram dan tahyul, tetapi ia biarlah berlandaskan Islam iaitu membawa pengajaran dan kesedaran kepada mereka yang terpengaruh kepada unsur tersebut.

Drama dan filem biarlah menjadi medium mendidik dan mengajar masyarakat ke arah kemajuan. Jangan hanya berlegar dalam kepompong seram, tahyul, dan akhirnya boleh membawa kepada syirik.

Hiburan dan kesenian dalam Islam ada batasnya, para pembikin drama dan filem mestilah bertanggungjawab terutama dalam penulisan skrip.


Elakkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepercayaan penonton kepada syirik.

Dalam drama dan filem yang berunsur seram selitkan akidah, ibadat dan akhlak dengan pendekatan Islam supaya memberi petunjuk kepada manusia khususnya umat Islam yang menonton sesebuah filem yang ditujukan khususnya kepada oran Melayu yang beragama Islam.

Hiburan dan kesenian dalam Islam mestilah ada unsur-unsur mendidik, mengajar, memberi pedoman, dengan batas akhlak yang digariskan.

Islam melarang keras umatnya melakukan syirik dan menyembah selain daripada Allah, di mana manusia meyakini bahawa ada yang bersekutu dengan Allah dalam mengatur urusan kehidupan alam.

Drama dan filem juga mestilah mengelakkan unsur-unsur lucah, seks dan nilai-nilai yang tidak baik.

Aspek nilai-nilai kebaikan, pengajaran dan teladan mestilah yang dapat membantu masyarakat yang membangun ke arah negara maju.

Penulis mantan pendidik, pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8552053.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...