Saturday, December 25, 2010

Ayuh, sokong skuad negara

TABUNG Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki, yang bertujuan mengumpul sumbangan kepada skuad bola sepak kebangsaan jika memenangi Piala AFF tahun ini, kini menerima ikrar sumbangan sebanyak RM80,700 sejak dimulakan Isnin lalu.

Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa berkata, tabung yang dikendalikan oleh persatuan itu sehingga kini hanya menerima ikrar sumbangan daripada syarikat-syarikat kecil dan orang perseorangan.

"Penonton-penonton menunjukkan sokongan kepada skuad kebangsaan dengan membeli tiket berharga RM50 dan RM30 bagi perlawanan akhir Piala AFF Suzuki antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

"Kini tiba masanya syarikat-syarikat korporat di negara ini menunjukkan bukti sokongan mereka kepada pasukan bola sepak kebangsaan dengan turut menyumbang kepada tabung tersebut," katanya semalam.

Ahmad Khawari berkata, jika penulis blog persendirian seperti Muhammad Rizal Hashim boleh memberikan ikrar sumbangan sebanyak RM100 bagi setiap pemain dan pegawai skuad, tentunya syarikat korporat mampu memberikan sumbangan yang lebih besar lagi.

Tugas mengendalikan Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki diserahkan kepada SAM oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang sebelum itu memberikan ikrar bahawa kementeriannya menjanjikan RM5,000 bagi setiap pemain jika mereka berjaya membawa pulang gelaran sulung saingan bola sepak serantau itu.

Pihak berminat untuk menyumbang boleh menghubungi Pejabat SAM dengan menghubungi talian 03-20780985 (Isnin, Selasa & Khamis, 10 pagi hingga 4 petang) ataupun faksimili 03-20706294.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...