KUALA LUMPUR: Tahap kepuasan hati rakyat terhadap prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kekal positif dengan kaum India mencatat peratusan tertinggi, diikuti Melayu dan Cina, demikian menurut kaji selidik firma tinjauan pendapat Merdeka Centre.
Tinjauan yang dijalankan mulai 30 November hingga 11 Disember lepas, menunjukkan tahap kepuasan hati di kalangan kaum India ialah 85 peratus, Melayu (74 peratus) dan Cina (54 peratus).
Bagaimanapun, tahap kepuasan hati terhadap Najib merosot sedikit kepada 69 peratus berbanding 72 yang dicatat Mei lepas, dengan 22 peratus "sangat berpuas hati" manakala 47 lagi "agak berpuas hati" dengan prestasi beliau.
Kenyataan Merdeka Centre hari ini menyebut ia mungkin disebabkan reaksi rakyat terhadap pengurangan subsidi kerajaan bagi barangan seperti minyak petrol dan gula, yang berlaku ketika tinjauan dijalankan.
Seramai 1,005 rakyat Malaysia yang merupakan pengundi berdaftar berusia 21 ke atas, disoal melalui telefon di seluruh semenanjung untuk kaji selidik itu.
Ia juga mendapati 54 peratus responden bersetuju negara kini berada di landasan yang betul, menyaksikan sedikit peningkatan berbanding 52 peratus pada Mei, dengan disokong anggapan bahawa ekonomi Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan, pemimpin negara lebih dinamik selain terdapat peningkatan ketara dalam inisiatif pembangunan.
Selain itu, perkara yang terus menjadi kebimbangan utama ialah ekonomi dengan 24 peratus, diikuti masalah sosial (16 peratus).
"Kebimbangan mengenai isu berkaitan kaum menduduki tempat ketiga dengan 11 peratus dan perkara lain, termasuk ketidakstabilan politik serta jenayah (masing-masing lapan peratus), diikuti rasuah pada kadar tujuh peratus," kata Merdeka Centre.
Sementara itu, 53 peratus responden berpendapat keadaan ekonomi ketika ini adalah memuaskan, dan ia merupakan satu peningkatan berbanding 47 peratus pada Mei.
Tiga daripada empat petunjuk pula didapati memperlihatkan peningkatan ketara iaitu kepuasan terhadap tahap pendapatan peribadi meningkat sebanyak enam peratus kepada 52; kepuasan terhadap peluang pekerjaan (meningkat lapan peratuskepada 48); dan kepuasan terhadap peluang perniagaan (meningkat enam peratus kepada 50).
Kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa terdapat kesedaran sederhana di kalangan rakyat berhubung Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenalkan kerajaan September lepas, dengan 16 peratus dilapor memiliki beberapa tahap pengetahuan dan pemahaman mengenai pelan tersebut serta matlamatnya.
Tahap kepuasan hati terhadap langkah memerangi rasuah pula ialah 35 peratus berbanding 36 pada Mei, penurunan kadar jenayah (47 peratus berbanding 41), memperbaiki taraf kehidupan di kawasan luar bandar (55 peratus berbanding 52), memperbaiki sistem pengangkutan awam (55 peratus berbanding 56 ), penyediaan bantuan (58 peratus daripada 54) dan memperbaiki kualiti pendidikan (62 peratus berbanding 63). - BERNAMA
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/25/mstar_berita/20101224195628&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment