INDONESIA sememangnya dikenali sebagai antara pembekal dan pengguna beras tertinggi di dunia.
Namun, ekoran kesedaran mengenai kesihatan awam dan pelestarian makanan kerajaannya melancarkan kempen untuk mendidik rakyatnya supaya mengetepikan makanan ruji kegemaran mereka itu.
Bagi rakyat Indonesia biasa seperti Andi Santoso, 23, yang juga seorang pelajar, hidup tanpa nasi sebagaimana yang disarankan kerajaan seperti tidak masuk akal.
"Saya makan nasi untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Sekiranya saya tidak makan nasi saya rasa seperti tidak makan sepanjang hari. Apa lagi yang saya boleh makan?" soalnya.
Setiausaha Agung Kementerian Kebajikan, Indroyono Soesilo berkata, jawapannya mudah, walaupun ia kedengaran gila kepada negara yang menghasilkan lebih 40 juta tan beras setahun dan menggunakan sekitar 33 juta tan.
Beliau menyarankan rakyat negara berkenaan untuk beralih kepada sumber nutrisi alternatif dan menggesa perokok berhenti merokok.
"Kami menggesa rakyat Indonesia untuk menghentikan tabiat memakan nasi. Kita perlu mempelbagaikan diet kita kerana ramai rakyat Indonesia masih berfikir sekiranya mereka tidak makan nasi, mereka tidak makan dengan betul.
"Indonesia menghasilkan 66 sumber karbohidrat lain seperti jagung, sagu, ubi kayu, ubi kentang, ubi kentang manis dan sebagainya. Semua sumber makanan ini dapat menggantikan nasi untuk dua ke tiga hidangan sehari.
"Kami menggesa rakyat Indonesia untuk mempelbagaikan tabiat makanan mereka bermula sejak kecil," tambah beliau.
Beras penyambung kehidupan
Dengan 240 juta mulut yang perlu disuap, Indonesia mempunyai populasi penduduk keempat tertinggi dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat (AS). Purata penggunaan beras seorang rakyat Indonesia melebihi 100 kilogram setahun melebihi penggunaan rakyat Jepun dan China.
Teknik pertanian yang dipertingkatkan dan pengaruh keselamatan makanan pasca-kolonial menjadikan negara berkenaan sebagai pengimport beras terbesar dunia pada tahun 1960-an sebelum bertukar kepada negara jelapang padi.
Tetapi dahulu, beras begitu banyak dan murah. Hari ini kerajaan mulai bimbang negara tersebut menjadi terlalu bergantung dengan hanya satu sumber tanaman.
Bijian yang berpunca dari sawah-sawah padi merentasi Indonesia itu mudah terjejas akibat perubahan pola cuaca global, sebagaimana hujan tidak bermusim tahun ini yang menurunkan suhu permukaan laut Pasifik, dikenali sebagai fenomena La Nina.
Kebimbangan lain termasuk peningkatan populasi dan kekurangan tanah yang sesuai untuk pertanian ekoran pembangunan dan peningkatan paras laut akibat pemanasan global, yang mana ditakuti kerajaan bakal menjejaskan penghasilan beras.
Bagaimanapun, bagi jutaan rakyat miskin Indonesia, beras bukan sahaja makanan ruji mereka, tetapi rezeki yang menyambung kehidupan mereka serta layak dipuja sebagai hadiah kepada para dewa.
"Beras adalah kehidupan. Ia memberi pekerjaan dan makanan," kata Djati Kusuma, Ketua Kampung Cigugur di tengah Kepulauan Jawa yang percaya perayaan tahunan Seren Taun diadakan bagi meraikan dewa beras iaitu Dewi Sri.
Penduduk kampung akan berkumpul selama tiga hari untuk memohon perlindungan daripada bencana alam dan memohon hasil tuaian yang melimpah ruah, katanya.
Tiada sesiapa pun di Cigugur pernah berfikir untuk menanam tanaman lain di ladang sawah yang subur hijau dalam kawasan gunung berapi di kampung berkenaan.
Penduduk di perkampungan yang melakukan aktiviti bersawah di Jawa memandang tinggi bijian beras berkenaan yang menduduki tangga yang paling tinggi dalam hierarki pertanian berbanding asal usul ubi kayu yang dikaitkan dengan kemiskinan.
Industri pertanian pula melihat potensi tanaman lain seperti ubi kayu dan sagu sebagai pilihan kedua sebagai makanan serta bio bahan api.
Laporan Institut Kajian Beras Antarabangsa (IRRI) dan Persatuan Asia berpangkalan di Amerika Syarikat September lalu berkata, negara Asia perlu meningkatkan pengurusan stok beras mereka bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan di rantau berkenaan kerana 65 peratus penduduk miskin dunia berada di Asia.
Kawasan penghasilan beras Asia menempatkan hampir 560 juta penduduk miskin tegar yang hidup bergantung kepada pendapatan kurang AS$1.25 (RM3.93) sehari. Kira-kira 90 peratus beras ditanam di rantau berkenaan di lebih 200 juta ladang.
Nasi merupakan makanan ruji kepada lebih tiga bilion manusia, kira-kira separuh daripada populasi dunia.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm
No comments:
Post a Comment