Saturday, December 25, 2010

Menghadapi ragam pemimpin dengan doa




Dari sehari ke sehari, fitnah politik yang melanda agak menyesakkan. Pelbagai isu berlaku dan masing-masing bertindak mahu menjadi juara pidato! Tidak kurang di antara mereka bertindak membelasah sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya.

Namun, apa yang mahu saya ulas bukanlah menambahkan lagi kekeruhan dan kekusutan dalam sebuah pertembungan sedia berlangsung. Tetapi, saya mengajak untuk muhasabah diri dan kembali merenung prinsip-prinsip ditinggalkan oleh para ulama generasi awal dalam menghadapi pelbagai bentuk fitnah politik dan kepimpinan sesebuah negara.

Kemunculan pelbagai fitnah politik, kepelbagaian sikap pemimpin, serta sikap-sikap kepembangkangan dalam isu-isu kepimpinan bukanlah suatu yang asing dalam sejarah umat Islam. Bahkan ia telah dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Persoalannya, apakah saranan dan tindakan yang diperintahkan oleh agama kepada kita semua dalam menghadapi mehnah politik tersebut? Jadi, itulah yang mahu kita lihat dan renung-renungkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemegang amanah (pemimpin) yang tidak memenuhi amanahnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985. Muslim, 5/291, no. 1758)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan: “Hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan diri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim ialah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Taala supaya Allah menghilangkan gangguan/siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shohih Muslim, 12/232)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan: “Aku telah menyebutkan di perbahasan yang lain, punca kepada masalah penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekali gus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Taala berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman/pemimpin bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129) Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di lain tempat, Rasulullah SAW memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mana bukan dalam urusan maksiat, (bertindak) menasihati mereka, bersabar dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama-sama mereka, solat di belakang mereka, dan mengikuti mereka dalam perkara-perkara baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Demikian nasihat para ulama dalam menghadapi fitnah politik. Kita tidak seharusnya menyandarkan apa berlaku semata-mata ke atas tubuh badan pemerintah, tetapi sebaliknya perlu melihat secara keseluruhan dan bertindak dengan syarii. Iaitu dengan memperbaiki pegangan agama kita dalam persoalan iman dan amal-amal soleh agar sentiasa selari dengan ketetapan nas-nas sahih. Seterusnya hendaklah sentiasa membantu dan bersama-sama pemimpin melaksanakan kebaikan serta saling menasihati, serta saling mendoakan kebaikan untuk pemimpin Islam dan umat Islam secara umum. Kerana kebaikan pemimpin itu amat bermanfaat kepada semua pihak.

Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata: “Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah umat Islam tidak turut serta melibatkan diri dalam perselisihan ketika berlakunya fitnah (pertikaian di antara kaum Muslimin) dan mereka juga berpandangan akan wajibnya memerangi golongan zalim yang dilakukan bersama-sama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaiannya di atas syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (I’tiqad A’immatul Hadits, m/s. 75-76)

Imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan daripada Abu Utsman, katanya: “Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya. Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukan ke atas umat Islam. Tetapi, mintalah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Syuabul Iman, 6/26, no. 7401)

Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H): “Jika kamu melihat orang yang mendoakan keburukan kepada pemimpin, ketahuilah dia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah dia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insya-Allah. Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa baik yang dimakbulkan, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikannya.” Demikianlah kita diperintahkan supaya mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat. Kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh umat Islam akan merasakan kesan kebaikannya.” (Syarhus Sunnah, m/s. 83-84)

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang Muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan: “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.”.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/271, no. 4914)

Begitulah sikap para ulama ahlus sunnah wal-jamaah dalam berhadapan dengan fitnah politik dan ragam para pemimpin. Mereka tetap melaksanakan ketaatan kepada pemerintah sebagaimana saranan agama. Mereka tidak suka kepada pemberontakan sama ada yang dilakukan dengan lisan seperti menebar aib, menghina, mencaci, memaki hamun, menghambur kesalahan penguasa di media-media terbuka, dan memalukan pemerintah.

Apatah lagi pemberontakan secara kekerasan seperti melakukan demonstrasi jalanan, provokasi, dan pelbagai lagi bentuk lainnya yang hanya membawa kepada kesan jauh lebih buruk bukan sahaja kepada diri pelaku, malah kepada masyarakat umum seluruhnya. Tetapi pendirian mereka adalah dengan mengambil sikap menasihati, memperkuatkan kesabaran, sentiasa memperbaiki diri dengan ilmu, dan mendoakan dengan doa-doa kebaikan.

Dari itu, fahamilah perkara ini dengan ilmu yang syari di atas prinsip-prinsip yang benar sebagaimana dijelaskan oleh ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Dan bukan dengan prinsip-prinsip tokoh-tokoh yang menyimpang sebagaimana kaum khawarij yang sering mengumandangkan prinsip-prinsip kepembangkangan dan pemberontakan saban waktu.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8553763.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...