Saturday, December 25, 2010

Rumah jadi makmal dadah


MOHAMAD NASIR (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas pada sidang akhbar di Muar semalam.


MUAR - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM70,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai makmal dadah di Jalan Daud di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, pada serbuan pukul 5.30 pagi itu, polis turut menahan dua suspek masing-masing berusia 25 dan 27 tahun.

"Polis juga merampas wang tunai berjumlah RM1,400 dan sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Larkin, Johor Bahru pada tahun 2008 di rumah berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohamad Nasir berkata, hasil pemeriksaan, polis menjumpai dadah jenis ekstasi, ketamin dan syabu serta peralatan-peralatan untuk memproses dadah.

Jelas beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, polis yakin sebanyak lima kes pecah kilang di sekitar daerah Muar berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya lima warga negara Vietnam selepas menahan sebuah teksi pada satu sekatan polis di persimpangan lampu isyarat Bukit Pasir di sini kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pukul 4.40 pagi itu, kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 hingga 30 tahun cuba melarikan diri tetapi anggota polis berjaya memberkas mereka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...