Saturday, December 25, 2010

KWSP lapor polis kes duit lesap

PUCHONG – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat satu laporan polis pagi semalam berhubung dakwaan kes wang simpanan seorang peniaga lesap seperti yang dilaporkan dalam akhbar ini, semalam.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya juga sudah menjalankan siasatan untuk melihat punca bagaimana kejadian berlaku dan mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, dari segi prosedur pengeluaran wang bagi kes itu, KWSP sudah mengikuti proses dan peraturan yang betul.

“Bagi kes itu, permohonan pengeluaran wang diluluskan selepas meneliti dokumen diberikan oleh individu terbabit yang disahkan agensi berkuasa berkenaan.

“Memang permohonan itu lulus kerana surat kematian disertakan dan kakitangan yang menguruskannya juga sudah membuat semakan online dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, memang Sarasvathi didapati meninggal dunia.

“Pihak kami berpandukan maklumat dokumen dikeluarkan agensi berkenaan. Malah dalam pemeriksaan online maklumat kematian sama dengan dokumen yang disertakan individu yang membuat permohonan.

“Dalam kes ini maklumat mangsa mungkin dipalsukan tetapi itu tidak dapat dikesan KWSP kerana sijil sudah disahkan JPN,” katanya.

Nik Affendi berkata, kakitangan yang bertugas juga menyerahkan wang itu kepada penama yang direkodkan bagi akaun mangsa.

“Kita memang ikut prosedur kerana dalam rekod memang nama individu yang mengeluarkan wang itu yang disenarai menjadi penama,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini semalam apabila seorang peniaga mendakwa hanya mampu berputih mata apabila wang simpanan lebih RM56,000 yang dicarum di KWSP ketika bekerja sebelum ini lesap sekelip mata.

Difahamkan, kejadian disedari mangsa apabila membuat pemeriksaan di sebuah mesin kios di USJ, Subang Jaya sebelum mendapati jumlah simpanan itu menunjukkan angka kosong.

Lebih malang, apabila ke KWSP mendapatkan penjelasan, mangsa C Sarasvathi, 54, diberitahu wang berkenaan sudah dikeluarkan seorang lelaki dipercayai berbangsa Sikh.

Sarasvathi berkata, apa yang menyakitkan hati adalah dia diberitahu sudah meninggal dunia pada tahun lalu dan wang dikeluarkan oleh seseorang yang mendakwa penjaganya pada April tahun sama.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8555557.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...