Saturday, December 25, 2010

‘Di mana suamiku’

Oleh Rosyahaida Abdullah
am@hmetro.com.my

KLANG: Seorang wanita tidak pernah menyangka kunjungannya bersama suami dan tiga anak mereka ke karnival sukan di Bukit Tinggi di sini, Ahad lalu menjadi detik terakhir dia melihat suami yang dikahwininya selama 11 tahun itu apabila lelaki itu tidak pulang ke rumah sejak hari berkenaan.

Misliana Buyak, 40, berkata ketika di karnival terbabit, suaminya, Mohd Shukri Chandraneru, 34, ingin pulang ke rumah lebih awal kerana kepenatan yang rumah mereka cuma lima minit berjalan kaki dari tempat berlangsungnya karnival itu.


Bagaimanapun, Misliana yang meninggalkan karnival terbabit bersama anaknya lima minit kemudian terkejut selepas melihat pintu rumah yang masih berkunci ketika sampai kira-kira jam 6 petang malah suaminya juga tiada di rumah.

Katanya, dia semakin bimbang apabila suaminya yang juga penjual ikan tetap tidak pulang menjelang malam dan dia kemudiannya membuat laporan polis pada hari berikutnya.


“Saya bimbangkan keselamatan suami saya kerana dia pernah diancam empat lelaki di pasar Pandamaran. Mereka mendakwa sebagai pemborong ikan dan menyuruh suami saya membayar hutang atau mereka akan hantar orang cari dia.


“Sejak suami saya hilang, mereka pernah datang ke rumah malah mencari saya di pasar malam tempat saya menjual ikan untuk memungut hutang antara RM2,000 hingga RM8,000 tapi saya cakap saya tak ada duit,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MCA Klang, di sini, semalam.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan suaminya meninggalkan rumah secara sukarela untuk mengelakkan diri daripada pemungut hutang, Misliana berkata, suaminya tidak pernah meninggalkan rumah untuk jangka masa yang panjang tanpa memberitahunya sejak mereka berkahwin.


“Telefon bimbitnya ada dengan saya malah semua pakaiannya juga masih ada di rumah. Dia tidak menghubungi saya langsung sejak hari itu.

“Saya tak tahu pun suami saya pernah meminjam duit daripada mereka dan dia pun tak pernah menceritakan kepada saya yang dia ada masalah kewangan,” katanya.


Misliana berkata, anaknya, Muhd Azli, 10; Nur Aisyah, 7, dan Muhd Akmal, 6, sangat rapat dengan ayah mereka dan sering bertanya bila ayah mereka akan pulang.


“Anak saya yang sulung inilah yang paling rapat dengan suami saya dan setiap malam sebelum tidur dia pasti menangis mengenangkan ayahnya yang sudah hilang,” katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Klang, Datuk Dr Ching Eu Boon meminta mereka yang melihat Mohd Shukri atau mempunyai sebarang maklumat mengenai Mohd Shukri menghubungi setiausaha Pemuda MCA Klang, David Foo di talian 017-3659897 atau balai polis terdekat untuk membantu siasatan.


“Jika Mohd Shukri meninggalkan rumah secara sukarela, saya harap dia akan menghubungi keluarganya dan pulang ke rumah.


“Jika dia menghubungi kami, kami akan cuba sebaik mungkin untuk membantunya dengan melakukan rundingan dengan pihak pemiutang berhubung pinjaman yang diambilnya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010122500595520101225005955/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...