KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd dan tiga subsidiari memfailkan saman sivil terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid dan dua eksekutifnya, memohon ganti rugi sekurang-kurangnya RM92.2 juta kerana pecah amanah dan bertanggungjawab berhubung projek Bakun.
Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Dagang Baru, di sini, semalam, menerusi firma guaman Tetuan Zaid & Co, dan ini adalah saman kedua difailkan oleh Sime Darby terhadap mereka.
Plaintif dalam saman itu adalah Sime Darby Berhad, Sime Engineering Sdn Bhd, Sime Darby Holdings Berhad dan Sime Darby Energy Sdn Bhd manakala defendan adalah Ahmad Zubir, bekas Naib Presiden Eksekutif Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan, Datuk Mohamad Shukri Baharom dan bekas Ketua Pegawai Kewangan Bahagian Tenaga dan Utiliti Kumpulan, Abdul Rahim Ismail.
Dalam saman itu, plaintif membuat tuntutan sekurang-kurangnya RM92.2 juta dan faedah serta kos yang perlu dibayar oleh defendan kerana pecah amanah dan bertanggungjawab terhadap projek Bakun. Kumpulan itu dalam saman mereka antara lain memohon satu perintah mahkamah supaya Ahmad Zubir, Mohamad Shukri dan Abdul Rahim membayar kembali RM74 juta dan RM16.5 juta yang dibayar dengan cara yang salah dalam projek Bakun, dan perintah supaya masing-masing Mohamad Shukri dan Ahmad Rahim, membayar balik RM851,313.49.
Plaintif turut memohon satu perintah supaya jumlah kerugian dinilai dan dibayar oleh setiap defendan kerana memberikan 'plant' kepada Sinohydro dalam projek Bakun, dan satu perintah supaya kerosakan dinilai bagi semua kerugian dialami plaintif dalam projek itu.
Plaintif juga mahukan satu perintah supaya defendan membayar kerosakan berdasarkan tindakan setiap defendan yang melakukan pecah amanah di samping bertanggungjawab terhadap tugas mereka, serta bayaran faedah dan kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Projek Empangan Bakun di Sungai Balui, Sungai Rejang, Sarawak, adalah projek tenaga hidro terbesar di Malaysia, dengan kapasiti yang dicadangkan 2,400 megawatt (MW) apabila disiapkan.
Mengikut jadual awal empangan itu dibina pada awal 1994 dan dijangka siap Disember 2010. Mengikut saman itu, menjelang September 2007, lembaga pengarah Sime Darby menyedari bahawa limpahan kos berlaku dalam empat projek termasuk projek Bakun. -Bernama
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SimeDarbysamanRM92_2j/Article/index_html
No comments:
Post a Comment