anbia@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Remuk hati seorang isteri apabila suami yang dikahwini lebih 20 tahun lalu mengeji payudaranya sudah tidak menarik sebelum meninggalkannya untuk menjalin hubungan cinta dengan pembantu rumah warga Indonesia.
Isteri malang itu yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 43, mendakwa suaminya yang berusia 45 tahun mengabaikan dia dan anak-anak sejak tiga bulan lalu hingga langsung tidak menghulurkan nafkah.
“Hati saya bertambah sakit apabila suami tanpa segan silu memberitahu niatnya untuk berkahwin dengan gadis Indonesia itu tahun depan.
“Paling menyedihkan apabila bentuk fizikal saya yang tidak lagi menarik selain payudara saya yang sudah kendur dijadikan bahan sindiran untuk menghina dan mencaci saya di depan anak.
“Dia sering bersungut kononnya saya malas menjaga badan menyebabkan dia hilang selera setiap kali bersama saya. Maruah saya dihina hingga saya malu apatah lagi bila dia sengaja bercakap dengan suara tinggi hingga didengar jiran,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gombak.
Faridah mendakwa, suaminya juga sering membandingkan dirinya dengan amah Indonesia itu yang didakwa berkulit tegang dan gebu kerana mengamalkan pemakanan jamu selain petua awet muda.
Faridah yang mendirikan rumah tangga pada 1990 berkata, keadaan kekurangan fizikal dialami banyak berpunca dari faktor genetik selain terpaksa menyusukan semua enam anaknya ketika mereka kecil. Kini anaknya berusia antara lima hingga 20 tahun.
“Akibat kesempitan hidup, saya tidak mampu membelikan susu tepung dan terpaksa memberi susu badan kepada semua anak. Ada antaranya yang menghisap susu badan sehingga berusia lima tahun. Mungkin faktor itu menyebabkan payudara saya tidak lagi menarik,” katanya.
Dia yang bergantung hidup dengan menjual kuih dan nasi lemak memberitahu kesibukannya berniaga selain menguruskan anak-anak serta rumah tangga menyebabkan keadaan dirinya sering kali tidak terurus.
“Saya sedih diperlakukan seolah-olah saya tiada harga diri. Di matanya, saya cukup jijik hingga makanan yang saya hidangkan sering kali tidak dijamah,” katanya.
Kata Faridah, sebelum ini dia banyak berkorban untuk keluarga kerana menyedari pendapatan suaminya yang kecil selain perlu menanggung kos sewa rumah, persekolahan dan makan minum keluarga.
“Namun apa yang saya lakukan ini langsung tidak dihargai apabila dia kemaruk bermain cinta dengan gadis Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah.
“Perkara ini hanya saya sedari apabila telefon bimbit suami saya kerap berdering pada waktu malam sebelum dia dilihat gemar berbual dalam keadaan berbisik.
“Rasa curiga menyebabkan saya memberanikan diri bertanya sebelum dia tanpa berselindung menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan gadis Indonesia itu dan meminta saya memberi persetujuan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suamisyokamah/Article/index_html
No comments:
Post a Comment