Saturday, December 25, 2010

Rajagobal kagum semangat pemain


TENANG... Barisan pemain negara turun menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Indonesia, malam esok.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal tidak senang duduk menjelang perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.

Dia bukan takut, tetapi pening memikirkan kesebelasan utamanya kerana semua pemain dalam skuadnya berebur-rebut untuk merampas tempat kerana terlalu memiliki semangat yang cukup tinggi untuk membelasah Indonesia.

Mereka tidak sabar dan setiap pemain telah mempamerkan komitmen yang tinggi malah semua berazam untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Begitupun, Rajagobal hanya akan memilih yang terbaik untuk menggalas perjuangan negara pada perlawanan malam esok dan dia kini memerlukan sedikit ketenangan untuk merencanakan strateginya.

Namun pengendali berusia 54 tahun itu enggan mendedahkan apakah bentuk persiapan yang menjadi tumpuannya bagi mengekang Indonesia daripada mendapat bekalan selesa dari tempat lawan.

"Persiapan kita tak banyak beza. Cuma kita sedang menilai bahagian mana yang perlu diberi fokus lebih. Tapi saya tak boleh mendedahkannya.

"Apa pun, para pemain saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi final. Saya mahu mereka turun dengan mempamerkan aksi terbaik dan mencatat kemenangan.

"Saya sendiri menjangkakan aksi final bertemu Indonesia ini bakal menampilkan satu perlawanan yang cukup menarik," kata Rajagobal pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Nasional petang semalam.

Mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa Malaysia bakal turun dengan jersi biru dan seluar putih manakala Indonesia pula dengan jersi putih dan seluar hijau.

Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu, pemain sayap kanan, Amirulhadi Zainal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami ketika aksi separuh akhir menentang Vietnam di Hanoi minggu lalu.

"Keadaan Amirulhadi nampak okey. Tapi ada dua hari lagi untuk saya menilai tahap kecergasannya. Kemungkinan besar dia boleh diturunkan.

"Cuma Khyril Muhymeen Zambri yang juga cedera lutut masih belum pulih seratus peratus," jelas Rajagobal sebelum bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya untuk sesi latihan petang semalam.

Sebelum memulakan latihan tersebut, mereka menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah memberikan kata-kata semangat kepada pemain bagi menghadapi Indonesia, malam esok.

Skuad kebangsaan bakal menjalani latihan terakhir di Stadium Nasional pada pukul 5 petang ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1225&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...