Friday, December 3, 2010

'Dia umpama cucu kamu'

'Dia umpama cucu kamu'

Oleh Ibrahim Isa

BATU PAHAT: “Saya tahu kamu suka sama suka, tetapi gadis ini masih kecil dan bertaraf cucu kepada kamu. Selagi mangsa berusia bawah 16 tahun, undang-undang negara mengklasifikasikan tindakan kamu sebagai kes rogol.

“Kamu sepatutnya melindungi serta menasihatkan gadis ini dan bukan memujuknya melakukan hubungan seks,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukum kepada seorang warga emas orang kurang upaya (OKU).

Tertuduh, Mohd Sairi Munajar@Munajat, 56, yang cacat kedua-dua tangannya dipenjara 10 tahun dan enam sebatan semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol remaja berusia 13 tahun di asrama pekerja di Kampung Dalam, Ayer Hitam pada Oktober 2009.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata, tertuduh sepatutnya melindungi dan menasihatkan gadis berkenaan daripada melakukan perbuatan negatif, tetapi keadaan sebaliknya berlaku.

Beliau berkata, kes rogol membabitkan mangsa di bawah umur semakin berleluasa dan hukuman lebih tegas perlu dikenakan sebagai peringatan dan amaran kepada masyarakat.


Abu Bakar menjatuhkan hukuman berkenaan kepada tertuduh yang juga seorang tukang kayu selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Sairi dituduh merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun sembilan bulan di Asrama Pekerja Kilang, Syarikat Berjaya Perniagaan Kayu Kayan T dan Y di Batu 19, Kampung Dalam, Ayer Hitam, di sini, pada jam 11.30 malam, 24 Oktober tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh merogol mangsa di tempat sama antara jam 2 petang hingga 11 malam pada 25 Oktober tahun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Mohd Sairi yang tidak diwakili peguam dalam prosiding semalam merayu supaya tidak dikenakan hukuman sebatan dengan alasan dia menghidap asma selain faktor usia.

Bagaimanapun, Abu Bakar menjatuhkan hukuman itu kerana kesalahannya serius.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiah Saini, manakala dua peguam yang pernah membela tertuduh sebelum ini menarik diri daripada kes itu.

Menurut fakta kes, tertuduh mengenali mangsa selepas gadis itu tersilap menghantar SMS kepada nombor telefon bimbitnya.

Kedua-duanya berbalas SMS selama sembilan bulan sebelum lelaki terbabit memujuk mangsa melarikan diri dari rumah keluarganya di Gemas, Negeri Sembilan, dengan berjanji membawanya ke Genting Highlands, sebaliknya ke tempat lain sebelum dirogol.

http://www.hmetro.com.my/articles/Diaumpamacucukamu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...