Friday, December 3, 2010

S'gor masih tunggu laporan audit ke atas PKNS

Dis 2, 10 1:19am

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau masih menunggu laporan Jabatan Audit Negara sebelum memutuskan sebarang tindakan yang sesuai dalam isu membabitkan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Beliau berkata kerajaan negeri memberi tempoh kira-kira tiga minggu kepada jabatan itu untuk menjalankan audit secara menyeluruh sebelum laporannya diumumkan kepada orang ramai.

"Buat masa ini kita telah beri jabatan audit tempoh dua ke tiga minggu dan sebab itu saya tunggu laporan itu.

"Bila ia siap kita akan benarkan laporan itu dibaca oleh orang ramai supaya kita dapat maklumat dan penjelasan tentang dakwaan tersebut.

"Selepas itu barulah tindakan yang sesuai diambil jika perlu," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam semalam.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Ketua Penerangan Umno Selangor Abdul Shukor Idrus semalam yang mempersoalkan mengenai pelantikan tiga syarikat oleh PKNS yang didakwa tidak mengikut peraturan.

Menteri Besar sebelum ini dalam kenyataan media berkata kerajaan negeri memutuskan untuk membekukan sementara semua aktiviti yang membabitkan Jabatan Perhubungan Awam, PKNS sehingga laporan penuh audit selesai.

Ini berikutan dakwaan beberapa pihak bahawa wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan di bawah pentadbiran Pengurus Besar PKNS Othman Omar.

Lima persatuan dan kesatuan dalaman PKNS juga dilaporkan turut mendesak Abdul Khalid supaya menamatkan kontrak Othman yang didakwa bertanggungjawab mengheret perbadanan itu ke dalam kancah kontroversi.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku MIzan Zanal Abidin pada Ahad ini dalam usaha pihaknya mendapatkan perhatian baginda berhubung isu air.

"Kerajaan negeri telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan kerajaan pusat dan syarikat konsesi termasuk menawarkan harga berpatutan untuk proses pengambil alihan tetapi tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kedua-dua pihak ini.

"Kerajaan Selangor berharap isu air ini mendapat perhatian Yang diPertuan Agong selaku Ketua Negara kerana kami berpendapat air merupakan keperluan asas.

"(Ia) tidak sepatutnya diniagakan untuk memperkayakan beberapa individu serta rakyat berhak untuk mendapat air pada harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang lebih cekap," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid sekali lagi mengingatkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya tidak menyalahgunakan kos 20 meter padu air yang disubsidi oleh kerajaan Selangor kepada rakyat menerusi Tabung Budi.

Beliau berkata Syabas sepatutnya lebih menumpukan kepada memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat seperti menyediakan air bersih dengan harga berpatutan yang boleh diminum melalui air paip secara terus.

"Kalau itu dilakukan Syabas sudah cukup, tidak payah buat kebajikan dengan ambil duit kerajaan negeri. Syabas bukan syarikat politik tetapi adalah syarikat perkhidmatan," katanya.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.

Wang kutipan itu kelak akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

http://malaysiakini.com/news/149764

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...