Dr Mahathir berkata, keadaan ini mungkin boleh memberi kesan kepada sektor perbankan kerana ia boleh membawa kepada hutang jangka panjang.
"Saya hanya menyuarakan kebimbangan saya. Saya lihat di bandar-bandar banyak bangunan untuk dijual atau disewakan. Jelas sekali, bangunan-bangunan ini tidak berpenghuni dan tidak mendatangkan keuntungan. Jika pemaju tidak dapat untung daripada apa yang ia bina, di mana pula ia akan dapatkan wang untuk membayar semula hutang bank.
"Kita pernah melihat ini berlaku di Jepun, Hong Kong dan Dubai baru-baru ini. Jika kita terlebih bina bangunan dan tidak dapat raih pendapatan, maka kita tidak dapat membayar hutang kepada bank dan ini menjuruskan kepada muflis.
"Jadi, kita perlu lebih berhati-hati," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Mobiliti Mampan 2010 di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas artikel di blognya baru-baru ini yang berpendapat kemungkinan berlakunya letusan gelembung hasil daripada lebihan bangunan di Kuala Lumpur.
Semata-mata spekulasi
Mengenai Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat, Dr Mahathir berkata projek itu perlu diteruskan seperti yang dirancang jika pembeli asli benar-benar berminat terhadap menara itu dan bukannya semata-mata spekulasi.
"Jika ada pembeli, tak mengapa. Apa yang saya bimbangkan ialah jika mereka hanya spekulator, membeli dengan harapan yang hartanah itu akan meningkat," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembinaan menara itu akan diteruskan jika ia berdaya maju secara komersial dan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih luas dalam lingkungan kawasan berkenaan serta menyediakan peluang perniagaan.
Mengenai persidangan berkenaan, Dr Mahathir berkata ia adalah platform yang amat sesuai untuk para penyelidik dan pakar dalam bidang itu untuk membincangkan kepentingan pergerakan yang mampan dan teknologi hijau.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pengeluar kereta merealisasikan dan menggunakan sepenuhnya potensi teknologi hijau kepada industri.
Persidangan tiga hari yang bermula hari ini itu dianjurkan SAE International Malaysia Section dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ia bertujuan menyediakan peluang untuk peserta bertukar pendapat, penemuan, meningkatkan perkongsian pengetahuan dan bekerja sama dalam bidang mobiliti mampan.
Persidangan itu turut mengetengahkan model elektrik Proton Saga yang dimajukan hanya dalam tempoh 11 bulan oleh Proton dengan kerjasama UTM.
- Bernama
http://malaysiakini.com/news/149716
No comments:
Post a Comment