Friday, December 3, 2010

Pendedahan Wikileaks: Hisham enggan ulas

Pendedahan Wikileaks: Hisham enggan ulas
Hazlan Zakaria
Dis 2, 10
3:16pm

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memilih untuk tidak menjawab apabila diminta mengulas pendedahan laman sesawang Wikileaks pada Ahad lalu, bahawa ada firma Malaysia didakwa terbabit dengan rangkaian syarikat-syarikat bagi mendapatkan 'barangan sensitif' untuk entiti di Iran.

NONE"Setakat ini saya belum terima laporan terkini mengenai dua firma berkenaan, saya akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa terdekat," katanya.

"Saya belum mendapat perkembangan yang terkini. Bagi perkara yang merentas sempadan seperti ini, kita perlu babitkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Wisma Putra (Kementerian Luar) berhubung kebimbangan ia menjejaskan hubungan dua hala ataupun pelbagai hala,” kata Hishammuddin pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Semua pihak yang relevan perlu dibabitkan kerana kerajaan tidak boleh bertindak secara silo.

"Kita mesti rujuk dengan angensi risik pakar luar negara yang kita ada berhubungan,” katanya.

Tangani cara betul

Ditanya mengenai butiran firma tempatan yang dipalitkan dalam isu itu, Hishamuddin juga cuba mengelak daripada memberikan jawapan secara langsung.

NONE"Ada syarikat Malaysia yang terbabit tetapi saya tidak boleh ulas kecuali saya berunding dengan pihak yang relevan dahulu. Ini isu baru dan kesannya serius, biar kami tangani dengan cara yang betul dan bekerjasama dengan pihak-pihak terlibat,” kata ahli parlimen Sembrong itu.

Katanya, jaringan risikan negara hanya mengetahui kewujudan dua syarikat yang membekalkan senjata kepada Iran selepas dokumen sulit itu didedahkan.

"Sebelum kita (KDN) membuat sebarang kenyataan dan pendirian, kita perlu mengambil kira hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara yang terbabit dalam kes ini kerana isu keamanan dan keselamatan negara," katanya.

Wikileaks memuatkan beberapa dokumen mendedahkan bahawa tindakan syarikat berkenaan mencabuli perjanjian perdagangan antarabangsa dan sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan ke atas Iran.

NONEMenurut kabel surat menyurat yang dihantar pada 3 Februari tahun ini dari pejabat Setiausaha Negera Amerika Syarikat kepada kedutaannya di Beijing, dua syarikat berpangkalan di Malaysia dikenalpasti sebagai dalang berkenaan.

Syarikat Electronics Component Limited, (ECL), bersama satu lagi syarikat Malaysia, Skylife Worldwide Sdn Bhd, dilaporkan sebahagian daripada rangkaian syarikat hadapan Iran yang digunakan bagi mendapatkan 'barangan sensitif' bagi pihak 'entiti Iran bagi pembikinan senjata nuklear”.

Skylife Worldwide dilaporkan kini disiasat oleh polis.

Berprofil tinggi

Hishamuddin juga berkata, KDN telah meminta PDRM untuk menimbang mewujudkan satu unit jurucakap khas untuk memberi maklumat kepada media dan orang ramai dalam kes berprofil tinggi.

"Jurucakap khas ini adalah satu unit tambahan kepada pusat Pusat Media dan Facebook PDRM yang dilancarkan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 21 September lalu.

"Penubuhan jurucakap khas ini diwujudkan untuk memastikan siasatan itu dijalankan secara telus, ia tidak menjejaskan siasatan," katanya sambil menambah bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, akan mengetuai dan mengawal selia unit jurucakap khas itu.

ahmad zahid hamidiSementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun kementerian itu mempunyai sistem kawalan keselamatan data pertahanan negara yang ketat, namun masih ada lagi sesetengah pihak yang cuba menceroboh dan membocorkan rahsia itu kepada umum.

Katanya, sejak penubuhan kementerian itu, ada penggodam yang sentiasa mencari jalan untuk menembusi sistem keselamatan itu bagi kepentingan tertentu.

"Kita sentiasa meneliti jika maklumat-maklumat pertahanan negara terkeluar daripada simpanan.

"Ini kerana saya fikir tidak ada mana-mana pemimpin bersetuju jika maklumat pertahanan keselamatan keluar sebagai satu dokumen yang boleh mengancam keselamatan negara," katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat kementeriannya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai pendedahan WikiLeaks berhubung maklumat diklasifikasikan sebagai sulit negara atau organisasi kepada umum.

NONEAhmad Zahid berkata, kementeriannya akan melakukan penyiasatan terperinci terhadap laporan itu dengan kerjasama Kementerian Luar bagi meneliti aspek undang-undang yang boleh dilakukan dan diambil bagi menghentikan aktiviti itu dijalankan.

"Seperti apa yang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata semalam, kita akan siasat kesahihannya.

"Jika ia membabitkan mana-mana syarikat yang didaftarkan di dalam Majlis Industri Pertahanan, Keselamatan dan Penguatkuasaan, kita akan ambil langkah tertentu supaya tidak melanggar piagam dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau aktiviti dalam dan luar negara yang dilihat membahayakan keselamatan dari segi pendedahan maklumat atau kebocoran dokumen sulit pertahanan negara.

http://malaysiakini.com/news/149805

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...