Friday, December 3, 2010

Penangan mabuk cinta

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal setahun untuk menamatkan pengajiannya, namun kerana mabuk cinta seorang remaja sanggup mengikut teman lelaki dan meninggalkan keluarga tanpa khabar berita sejak Julai lalu.

Remaja terbabit, Suhana Ahmad, 22, yang mengikuti kursus ijazah dalam bidang pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mendapat biasiswa kerana sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dikatakan melarikan diri bersama teman lelaki yang dikenalinya sejak empat tahun lalu.


Menurut ibunya, Siti Marliah Marjunid, 53, mereka sekeluarga terlalu merindui Suhana dan berharap anaknya pulang dengan segera kerana sudah pelbagai ikhtiar dilakukan mengesan anak ketiga daripada empat beradik itu namun masih buntu.

“Hati ibu mana yang tidak risau mengenangkan anak yang sehingga kini tidak diketahui apa yang berlaku, sudah banyak usaha dilakukan untuk mencari termasuk secara tradisional namun anak saya masih gagal ditemui.


“Cubaan menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal berikutan anak saya mungkin sudah menukar taliannya,” katanya yang kini hanya mampu menangis mengenangkan anak perempuannya itu.


Menurutnya, sejak kehilangan Suhana Julai lalu, dia sentiasa menanti kepulangan anaknya itu terutama ketika menjelang Aidilfitri namun hampa kerana remaja terbabit langsung tidak pulang.

“Sebelum ini, pada Januari lalu dia pernah melarikan diri bersama teman lelakinya namun ditemui semula di stesen LRT Asia Jaya, Petaling Jaya bersama teman lelakinya itu.


“Selepas dibawa pulang, saya sangkakan dia akan berubah dan mahu meneruskan pengajiannya di UPM namun Julai lalu secara tiba-tiba dia memberitahu mahu menangguhkan pelajaran tanpa memberi sebarang alasan,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memberikan nasihat kepada anak gadisnya itu supaya menghabiskan pengajian terlebih dulu namun kerana terlalu mengikut kehendak hati anaknya itu sekali lagi melarikan diri.


“Saya kenal dengan teman lelakinya itu dan mereka bercinta ketika anak saya bekerja di sebuah stesen minyak bersama dengan lelaki terbabit selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.


“Apa yang membimbangkan, teman lelakinya itu masih tidak mempunyai pekerjaan dan saya pernah menghubungi keluarga lelaki terbabit yang tinggal di Negeri Sembilan namun ibunya juga memberitahu yang anaknya itu sudah lama tidak pulang,” katanya.


Menurutnya, dia berharap anak gadisnya itu segera pulang dan meneruskan kembali pengajian tertangguh kerana usianya masih mentah dan berharap dia tidak terlalu mengikutkan hati.


“Saya agak kecewa dengan keputusan yang dibuat anak kerana saya dan suami bertungkus-lumus bekerja menjual nasi lemak untuk menampung kos pembelajarannya di universiti.


“Demi masa depannya sendiri, saya amat berharap dia pulang dan menamatkan pengajiannya terlebih dulu dan jika mahu berkahwin kami sekeluarga akan merestui mereka,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penanganmabukcinta/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...