Friday, December 3, 2010

Peruncit, penyamun bersekongkol

PETALING JAYA: Sekumpulan penyamun kedai serbaneka tumpas selepas tertangkapnya enam lelaki termasuk seorang peniaga kedai runcit yang bertindak sebagai pembeli barangan samun.

Kumpulan itu dipercayai aktif di sekitar daerah ini menyamun menggunakan pisau dan parang sejak September lalu. Mereka menyasarkan kedai beroperasi 24 jam untuk menyamun barangan seperti rokok, bateri, pisau cukur dan beberapa barang lain.


Hasil maklumat awam serta risikan, polis menahan semua ahli kumpulan terbabit dalam dua serbuan pada 27 dan 28 November lalu di rumah suspek di Kampung Melayu Subang, Desa Mentari dan Puchong, dekat sini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripadanya mempunyai sehingga 16 rekod jenayah dalam kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan.

Menurutnya, kumpulan terbabit kebiasaannya menyamun pada waktu awal pagi ketika keadaan sunyi dan tiada pelanggan. “Mereka menyamar sebagai pelanggan dengan memakai topi besbol atau topi keledar sebelum mengeluarkan pisau atau parang dan mengugut penjaga kaunter serta dengan pantas menyamun barang di kaunter seperti rokok, bateri dan pisau cukur.

“Setakat ini tiada laporan mengenai pekerja atau pelanggan dicederakan, namun kita percaya dengan tumpasnya kumpulan ini polis dapat menyelesaikan 15 kes samun sekitar Petaling Jaya, membabitkan kerugian dianggarkan RM45, 000,” katanya.


Arjunaidi berkata, suspek yang ditahan adalah dua pengawal keselamatan, seorang berusia 30 tahun mempunyai satu rekod lampau dan seorang lagi berusia 32 tahun ada tiga rekod jenayah. “Tiga lagi penganggur berusia 19 tahun dan tiada rekod jenayah, seorang lagi berusia 26 tahun mempunyai satu rekod serta suspek berusia 37 tahun memiliki 16 rekod jenayah lampau.


“Peniaga yang membeli barangan samun itu berusia 55 tahun adalah warga asing yang mempunyai taraf pemastautin dan ditahan di rumahnya di Puchong.

“Antara barangan dirampas dalam serbuan itu 274 kotak rokok pelbagai jenama, 38 bateri, puluhan pisau cukur dan empat keping kad pengenalan milik orang lain,” katanya.


Semua suspek direman sehingga 4 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peruncit_penyamunbersekongkol/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...