Friday, December 3, 2010

Kualiti Tenaga Kerja Di Malaysia Merosot - MPEN

Jumaat Disember 3, 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperhebatkan pembangunan modal insan berikutan kualiti tenaga kerja di Malaysia semakin merosot dan tidak menepati kemahiran yang diperlukan pihak industri.

Mengikut laporan Bahagian Akhir Model Baru Ekonomi (MBE) yang dikeluarkan oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara, pelabur juga mengeluh bahawa pekerja baru kekurangan kapasiti menganalisis dan menyelesaikan masalah.

"Kelemahan penguasaan bahasa dan rangkaian sosial menghalang penggunaan teknologi terkini dan proses berpasukan moden untuk aktiviti-aktiviti tambah nilai tinggi," kata laporan itu di sini hari ini.

Laporan itu juga menyebut tanpa jumlah tenaga kerja berkemahiran yang besar, Malaysia menghadapi risiko menjunam ke arah sebuah negara yang sederhana.

Kelemahan dalam teras utama iaitu pembaharuan radikal sistem pendidikan, dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi sudah dikenal pasti dan langkah yang sudah diambil gagal memberi hasil yang diidamkan.

"Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak semestinya tahu semua penyelesaian terbaik. Kita memerlukan program pembaharuan menyeluruh berbanding tindakan bertampalan dan tidak bersambung," kata laporan itu.

Sistem pendidikan mesti bergerak melampaui "tahap bina negara" ke tahap menyediakan kemahiran untuk bersaing di pasaran antarabangsa.

Antara cadangan yang dikemukakan oleh MPEN dalam MBE yang membabitkan perubahan dasar ialah transformasi tempat kerja yang mana merangkumi menambah perlindungan pekerja dengan memperkenalkan insurans pengangguran, penubuhan Majlis Konsultasi Upah Kebangsaan (NWCC), dasar Sistem Upah Berkaitan Produktiviti (PLWS) dan menimbang Polisi Upah Minimum.

Dalam segmen tranformasi tenaga kerja pula, ia merangkumi mengadakan ramalan pasaran buruh dan program soal selidik, menambah kemahiran dan meningkatkan tenaga kerja iaitu dengan menetapkan strategi keseluruhan untuk meningkatkan tenaga kerja dan menyeragamkan pensijilan pekerja separa mahir selain memanfaatkan bakat wanita untuk meningkatkan produktiviti.

Dalam cadangan pendekatan pemodenan dan penggabungan undang-undang buruh yang menyeluruh cadangannya ialah:

* Ia digabung dan dipermudah bersesuaian dengan struktur pasaran buruh dan amalan-amalan di dalam suasana yang berasaskan pengetahuan dan perkhidmatan.

* Perubahan juga perlu membabitkan prosedur pemecatan yang lebih fleksibel dan konsisten dengan persekitaran tempat kerja yang pantas dan berubah serta layanan adil perlu diberikan kepada pekerja tetapi tidak melindungi kerja yang sudah ketinggalan zaman.

* Insurans pengangguran yang dibiayai oleh majikan dan pekerja, termasuk peruntukan untuk latihan semula pencarian-penempatan kerja dan perpindahan.

* Membentuk proses pengantaraan dan penimbang tara yang ada batasan masa, telus dan mengikat sebaik-baiknya bebas daripada agensi kerajaan.

* Laluan ke Mahkamah Perusahaan harus menjadi pilihan terakhir dengan itu menyumbang kepada penyelesaian pertikaian yang lebih pantas dan pasti. Pihak-pihak berkaitan mesti peka dengan corak pekerjaan perniagaan yang berubah-ubah dengan pantas.

* Pendekatan yang lebih menyeluruh dalam memperkenalkan perubahan undang-undang buruh berkaitan dengan persekitaran kerja yang berubah-ubah dan tenaga kerja generasi baru. Pematuhan yang lebih tinggi dengan amalan baik dan piawaian antarabangsa.

MBE mencadangkan agar undang-undang buruh yang lapuk diperbaharui namun tranformasi ekonomi di bawah MBE dijangka menyebabkan pengangguran sementara di mana perlindungan pekerja yang lebih baik diperlukan untuk membantu mengurangkan beban transisi kerja.

Dalam pada itu, laporan itu juga menyebut supaya satu kajian menyeluruh untuk pasaran buruh untuk setiap sektor ekonomi dan segmen di dalam setiap sektor perlu dijalankan.

"Di Malaysia ketika ini, tiada sumber maklumat menyeluruh dan yang diterima pakai mengenai struktur pasaran buruh, peluang dan potensi dan jurang maklumat ini perlu diperbetulkan," menurut laporan itu.

Sekiranya maklumat itu wujud, ia akan membentuk asas ramalan lengkap permintaan tenaga kerja untuk setiap sub-sektor industri dan ramalan ini akan memenuhi keperluan semasa dan pada masa akan datang ketika negara meningkat ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

Mengenai langkah dasar yang memfokuskan untuk meninggikan kemahiran, keutamaan terhadap latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja perlu diberi kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lapisan buruh tidak mahir dan separa mahir pula kemungkinan besar tidak wujud hasil transformasi ekonomi.

Beberapa inisiatif dasar diperlukan untuk menyediakan tenaga kerja meningkat ke status pendapatan tinggi ialah:

* mengkoordinasi agensi kerajaan, industri dan entiti pendidikan untuk mencapai objektif strategi keseluruhan yang dipersetujui;

* menggabungkan semua program latihan tajaan kerajaan dan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) di bawah satu bumbung;

* menyatukan program latihan sektor swasta dengan sektor awam;

* membina pertalian di antara keperluan industri dan hasil keluaran dari entiti-entiti latihan vokasional/pengajian;

* meluaskan piawaian kelayakan MQA kepada semua sektor industri;

* menjelaskan, memudahkan, menggabungkan dan/atau koordinasi antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK);

* menghentikan trend menukar kolej-kolej vokasional, teknikal dan komuniti kepada universiti.

Laporan itu juga menyebut kadar penyertaan wanita yang rendah dalam pasaran buruh adalah rendah berbanding negara lain meskipun mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi.

Sementara perlunya sektor awam menjadi lebih proaktif, sektor swasta juga memerlukan inisiatif hala tuju yang kuat dalam mempromosikan penyertaan wanita melalui langkah-langkah berikut iaitu:

* Melaksanakan dasar tempat kerja seperti digambarkan di atas untuk membenarkan fleksibiliti yang lebih besar dalam tempoh waktu bekerja dan peruntukan sokongan penjagaan kanak-kanak;

* Memperkenalkan dasar-dasar yang diperlukan kementerian dan agensi untuk memastikan isu jantina ini adalah sebahagian daripada pembentukan dasar. Semua program mesti memasukkan elemen jantina;

* Kedua-dua sektor awam dan swasta menggalakkan pengenalan kepada Penilaian Impak Gender (GIA); * Usaha perlu difokuskan kepada penggalakan firma-firma sektor swasta untuk menempatkan lebih ramai eksekutif wanita dalam bahagian membuat keputusan.

Di dalam sektor awam kini, sebanyak 30.5 peratus wanita terbabit dalam pengurusan atasan dalam tahun 2010 berbanding hanya tujuh peratus pada 1990.

Sementara itu, hanya sebahagian kecil terbabit dalam jawatan berprofil tinggi dan membuat keputusan korporat iaitu hanya 6.1 peratus pengarah korporat di Malaysia dan tujuh ketua pegawai eksekutif bagi 100 syarikat besar tersenarai di Bursa Saham adalah wanita.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/3/mstar_berita/20101203202209&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...