Friday, December 3, 2010

Samy Vellu dijangka isi 2 jawatan MIC elak sabotaj

Nov 30, 10 5:53pm

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, dijangka mengisi jawatan nombor satu dan dua dalam parti bagi mengelak kemungkinan berlaku konspirasi politik dalaman sebelum menyerahkan tampuk kepimpinan kepada timbalannya, Datuk G Palanivel.

Katanya, beliau akan memohon persetujuan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) bagi mengisi dua jawatan utama itu bagi menghalang mana-mana pihak daripada mensabotaj perpaduan dengan mencetuskan perebutan kuasa dalam parti itu.

"Niat saya itu bagi memastikan wujud kepimpinan yang mantap selepas saya berundur," katanya kepada pemberita di sini ketika ditanya jika ada sebarang cubaan oleh beberapa orang tertentu untuk mencetuskan pergolakan dalam MIC selepas beliau bersara nanti.

Samy Vellu dijangka mempengerusikan mesyuarat CWC buat kali terakhirnya Isnin ini dan pada mesyuarat itu beliau dijangka melantik naib presiden kanan, Datuk Dr S Subramaniam, sebagai pemangku timbalan presiden.

Beliau juga dijangka menyerahkan tugasnya kepada Palanivel selepas mesyuarat itu.

Samy Vellu mengakui bahawa beliau ada mendengar cubaan untuk menyahstabilkan atau menggugat perpaduan dalaman parti menerusi cara tidak demokratik selepas beliau mengosongkan jawatan presiden.

"Ini semua khabar angin dan kerja-kerja orang yang tidak bertanggungjawab. MIC adalah kuat dan stabil dan kami berada dalam landasan betul untuk memulih sepenuhnya selepas pilihan raya umum 2008," katanya.

MIC mengalami kekalahan paling teruk pada pilihan raya umum 2008 dengan kehilangan enam daripada sembilan kerusi Parlimen yang dtandinginya.

Samy Vellu telah menyatupadukan parti itu yang tidak terurus sebelum ini dengan gaya kepimpinan tegas sebaik sahaja mengambil alih teraju parti itu daripada mendiang Tan Sri V Manickavasagam pada lewat 1979.

Pemerhati menyifatkan MIC tanpa Samy Vellu sebagai pemimpinnya akan mengundang bahaya kepada parti itu.

Bagaimanapun, Samy Vellu baru-baru ini menolak andaian itu dan memberi sokongan serta pengiktirafan kepada Palanivel atas kemampuan dan bakat bekas setiausaha akhbarnya itu untuk memimpin parti itu.

Ditanya jika pengantinya akan mengerakkan parti itu ke arah menyatupadukan masyarakat kaum India di negara ini di bawah payung MIC, katanya, beliau telah mengorak langkah ke arah itu dan Palanivel akan meneruskan usaha-usaha tersebut.

"Selepas pilihan raya umum 2008, ramai orang India sedar bahawa hanya MIC adalah satu-satunya parti berasaskan kaum India yang boleh mewakili mereka.

"Ramai ahli di kalangan orang India dalam parti pembangkang kini berminat untuk menyertai MIC. Hakikatnya, MIC telah mengedarkan 600 borang keahlian di Sungai Petani, Kedah, sahaja, baru-baru ini.

"Ramai akan tampil dan kami sedia untuk menerima mereka," kata bekas Menteri Kerja Raya itu.

http://malaysiakini.com/news/149607

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...