Friday, December 3, 2010

Nasib keluarga hidup daif dapat simpati

KUANTAN: Biarpun hidup serba kekurangan, seorang mekanik, Shamsul Haizi Shamsudin, 32, dari Kampung Cengal Lempung, dekat Balok, di sini, bersyukur kerana masih mampu menjaga keluarganya termasuk empat anak yang masih kecil berusia antara setahun hingga tujuh tahun.

Namun, Shamsul mengakui dia tidak mampu mengharungi kesusahan hidup tanpa bantuan isterinya, Norhafiza Eriana Abdul Halim, 27, yang banyak membantu sejak dia mengalami masalah kesihatan sehingga diberhentikan kerja kira-kira dua tahun lalu.


Lebih menyedihkan, mereka sekeluarga kini terpaksa tinggal di rumah yang agak daif dengan kebocoran atap di merata tempat serta tidak mempunyai tingkap selain terpaksa menahan kesejukan apabila hujan terutamanya pada waktu malam.

Menurut Shamsul, dia tidak mampu tinggal di rumah yang lebih baik berikutan kesempitan hidup dan menyewa rumah berkenaan daripada seorang penduduk sebanyak RM100 sebulan.


“Sewa rumah tertunggak sebulan kerana saya tidak mampu bekerja berat berikutan kesihatan sering terganggu dan ada ketika diserang demam teruk sehingga terlantar di rumah sehingga seminggu,” katanya ketika ditemui, di rumahnya, di sini, semalam.


Katanya, kehidupan mereka sekeluarga mula berubah selepas dia dimasukkan ke hospital lebih dua tahun lalu kerana mempunyai masalah tulang belakang dan sejak kejadian itu dia tidak mampu bekerja berat dan sering jatuh sakit.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Gebeng, dekat sini, malangnya saya diberhentikan berikutan sering cuti sakit sebelum saya membuka sebuah bengkel untuk menyara keluarga, namun tidak dapat bertahan lama dan terpaksa ditutup berikutan masalah kesihatan.


“Sejak itu, saya hanya membantu rakan di bengkel miliknya sekiranya diperlukan selain membaiki motosikal di rumah sekiranya ada kenalan yang meminta saya membaikinya dan hasil pekerjaan itu saya mampu mendapat upah antara RM30 hingga RM50 sehari,” katanya yang menerima kunjungan Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss), di sini, semalam.

Shamsul berkata, isterinya turut membantu memberi pendapatan kepada keluarga dengan membuat kuih untuk dihantar ke kedai berdekatan, namun pendapatan mereka berdua masih tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa berjimat.


Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh, sebelum itu menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga Shamsul.


Turut serta dalam kunjungan berkenaan, Bendahari Barisan Nasional Indera Mahkota, Ngah Ismail serta kira-kira 20 ahli Bakkiss.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nasibkeluargahidupdaifdapatsimpati/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...