Friday, December 3, 2010

Kenapa ramai belia Felda gagal ke IPT



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria mendakwa masih ramai belia Felda yang gagal ke menara gading dan terlibat dengan masalah sosial.

Nasir sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat semalam berkata, berdasarkan jawapan sebelum ini, sebanyak enam peratus sahaja daripada anak Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT).

"Terlalu ramai lagi yang gagal di kawasan Felda. Baru-baru ini dalam mesyuarat telah diputuskan untuk diberi jarum percuma kepada mereka yang terlibat dengan dadah dan ini satu perkara yang perlu dilihat serius oleh pihak Felda sendiri.

"Walaupun diberi angka 76 ribu yang masuk universiti, tapi ratusan ribu lagi yang berada dalam keadaan yang boleh kita pertikaikan moralnya," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai pertubuhan Biro Aduan Peneroka Kebangsaan (Bapak) yang didakwa diwujudkan ekoran penubuhan Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) oleh PAS.

"Adakah pihak Felda akan bekerjasama juga dengan NGO seperti Anak. Sebab daripada Anak inilah lahirnya Bapak.

"Sebelum ini tak ada Bapak. Tapi menteri tak sebutkan pun NGO Anak ini yang banyak memperjuangkan isu Felda di peringkat kebangsaan," katanya.

Datuk Ahmad Maslan dalam jawapannya bagaimanapun mendakwa Anak baru setahun jagung berbanding pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan di bawah Felda yang lain.

Namun beliau berkata, Bapak akan bekerjasama dengan Anak dalam isu-isu tertentu.

"Anak ni NGO baru setahun jagung berbanding pertubuhan-pertubuhan kita yang lain.

"Bagaimanapun kita melayan Anak. Dalam jawatankuasa bersama, kita akan jemput Anak bersama," katanya.

Sebelum itu, Datuk Lilah Yasin (BN-Jasin) dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan bilangan anak peneroka Felda yang mempunyai ijazah dan berapa pula yang lulus dalam bidang profesional dan usaha yang dijalankan kerajaan bagi menarik minat golongan ini menyumbang ke arah kemajuan peneroka Felda.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29674:kenapa-ramai-belia-felda-gagal-ke-ipt&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...