MAJORITI atlet karate bersetuju keluar dari skuad kebangsaan sekiranya Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) kekal dengan keputusan tidak menyambung kontrak jurulatih kebangsaan, P Arivalagan.
Salah seorang atlet, L Kunaselan berkata, dia dan rakan lain terkejut serta kecewa dengan tindakan Makaf dan berharap badan induk itu mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.
“Arivalagan sudah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya.
Kunaselan berkata, mereka sudah berbincang dan mengambil keputusan menarik diri jika Makaf kekal dengan keputusan menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.
Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai Makaf, esok, bagi membincangkan isu Arivalagan.
Kunaselan, antara empat nama awal yang disenaraikan menggalas cabaran negara ke Sukan Asia Incheon 2014, berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.
“Tidak wajar Makaf memberi alasan mengambil jurulatih Iran dengan tujuan meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi.
“Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia Guangzhou. Tidak adil jika jasanya tidak dinilai Makaf,” katanya.
Di Guangzhou, Malaysia di bawah bimbingan Arivalagan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.
Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan Sea 2007 dan Sukan Sea 2009.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Atletkarateugutkeluarskuadnegara/Article/index_html
No comments:
Post a Comment