Wednesday, January 5, 2011

'Mereka dengki saya'

P ARIVALAGAN mendakwa pemecatannya sebagai jurulatih karate negara dipercayai didalangi lima ahli Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) yang mendendaminya selain berhasrat menyingkirkannya.

Arivalagan yang sudah menjawat jawatan itu sejak 2005 mendakwa kontraknya tidak dilanjutkan berkuatkuasa 31 Disember lalu.


Lebih mengecewakan, kelompok kumpulan yang tidak menyukainya itu bukanlah mereka yang arif mengenai sukan karate tetapi menduduki kerusi jawatankuasa itu selepas menang dalam pemilihan persatuan.

“Mereka dengkikan saya sedangkan mereka sebenarnya tidak terlalu arif dalam sukan karate. Apakah pencapaian saya selama ini tidak cukup? Adakah saya selalu gagal membimbing anak buah saya? Jawapannya pasti tidak.


“Selain kelima-lima individu ini, saya yakin anggota Makaf lain masih mahu saya memegang jawatan ini berdasarkan pencapaian semasa pasukan kumite.


“Walaupun sedar ia sudah lama berlaku, saya ketepikan semua masalah ini dan tidak mencampur adukkannya ketika membimbing skuad negara,” katanya.

Selepas negara dikejutkan dengan pengunduran jurulatih badminton negara, Datuk Misbun Sidek, P Arivalagan pula menerima tamparan apabila dipecat.


Selama Arivalagan bertindak sebagai jurulatih kumite, sentuhan bekas atlet negara itu tidak pernah mengecewakan apabila terbaru dia berjaya membimbing R Puvaneswaran meraih emas di Sukan Asia Guangzhou dengan kumite menyumbang dua lagi perak.

Sebelum itu, berderet sudah anak buah Arivalagan melakar kejayaan termasuk meraih lima emas pada Sukan Sea Laos dan tugasnya itu tiba-tiba saja bakal diganti jurulatih daripada Iran.


Apa yang membimbangkan Arivalagan ketika ini, kemelut melibatkan pemecatannya itu merebak kepada barisan atlet negara yang enggan berlatih selepas mengetahui kedudukannya.


“Anak buah saya kecewa dengan keputusan ini. Sehingga pagi tadi (semalam) mereka bertekad enggan berlatih sebagai tanda memboikot keputusan Makaf.


“Bagaimanapun, saya berjaya memujuk mereka dan akhirnya kami dapat menjalankan latihan singkat sekitar setengah jam saja. “Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang tindakan ini akan berterusan,” katanya.


Yang pasti, Arivalagan kini menunggu panggilan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mengetahui situasi sebenar dan selama itu juga, dia bertekad untuk melatih atlet kumite negara seperti biasa.


Sementara itu, Setiausaha Agung Makaf, Clement Soo menyerahkan perkara itu kepada barisan exco Makaf yang akan mengadakan mesyuarat dalam tempoh terdekat.


“Pada pandangan saya pertimbangkanlah sumbangan Arivalagan selama ini. Kita perlu bersikap adil kepada individu yang seringkali mengharumkan nama negara.


“Janganlah layan beliau dengan cara begini, apabila tidak diperlukan ditendang begitu saja,” katanya yang menegaskan tidak menyebelahi mana-mana pihak.


Ditanya hasratnya untuk turut berundur, Clement berkata, sekiranya pandangannya itu tidak dapat diterima barisan exco Makaf, beliau bersedia melepaskan jawatan yang dipegangnya selama 21 tahun itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Merekadengkisaya/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...