Wednesday, January 5, 2011

Tenang bakal jadi medan perang Interlok

Jimadie Shah Othman
Jan 5, 11
1:01pm

Selain pertembungan Pakatan Rakyat dan BN, pilihan raya kecil Tenang pada 30 Januari nanti juga bakal menjadi medan kempen untuk kumpulan pro dan anti novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Husain.

Sebagai reaksi kepada Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) yang mahu turun dan meletakkan calon sendiri di DUN itu, NGO penulis - Kumpulan Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - mengumumkan rancangan mereka 'berkempen' di kawasan itu.

dinsman artist and politics 220408 04"Kita akan adakan forum di Tenang. (Kita) bukan hendak berkempen, tetapi mereka sudah guna (isu itu), (dan hendak) letak calon," kata presiden PAKSI Che Shamsudin Othman (kiri) yang mempertahankan novel itu sebagai "rakaman realiti yang cukup baik".

Pada 30 Disember lalu, PRIMA mengancam meletakkan calon di Tenang jika kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Interlok yang didakwa memberikan gambaran salah terhadap masyarakat Indian, berhubung sistem kasta dan istilah "pariah".

Ketua penerangannya AP Raja Retinam juga memberitahu Malaysiakini, mereka turut merancang melancarkan protes di Putrajaya dan di Johor Bahru berhubung perkara itu.

Belum pun reda, sebuah lagi gabungan NGO India semalam mengancam mengadakan upacara membakar novel itu jika ia tidak ditarik balik sebagai teks sastera untuk pelajar tingkatan lima.

Bakar novel

Dalam satu sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) di ibu negara hari ini, Che Shamsudin berkata penyertaan PAKSI dalam pilihan raya itu bukan untuk tujuan politik tetapi "untuk menjelaskan keadaan seni" yang sebenar.

Bagaimanapun, menurut penyajak terkenal dan pelopor teater absurd itu, butiran lanjut meliputi ahli panel terlibat dan tarikh program itu masih di peringkat perbincangan.

azlanChe Shamsudin dan beberapa seniman, termasuk Sasterawan Negara A Samad Said sebelum ini pernah beberapa kali terlibat berkempen dalam beberapa pilihan raya kecil bagi memperjuangkan isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ketika itu.

Sementara itu, diminta mengulas rancangan pembakaran Interlok sebagai tanda bantahan, Che Shamsudin berkata mereka tidak boleh membuat apa-apa berhubung perkara itu.

"(Malangnya) karya seni, orang tidak melihatnya sebagai seni, tetapi alat politik. PAKSI tidak boleh buat apa-apa (jika mereka ingin membakarnya).

"Setakat ini kita hanya menyatakan sikap kita," katanya sambil memberitahu belum memikirkan tindakan tegas kepada penentang novel Interlok.

Hadir sama dalam sidang media itu, pengasas portal sastera siber eSastera Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa Pustaka Hasni Abas serta penulis terkenal Razali Endon dan Kassim Muhammad.

Kesemua mereka turut bergiat aktif dalam PAKSI - NGO penulis yang dilihat rapat dengan pembangkang.

http://malaysiakini.com/news/152464

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...