Wednesday, January 5, 2011

Sultan bertitah tindakan MB S'gor tak wajar

Jan 4, 11 6:08pm

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tindakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berbincang dan memilih calon-calon lain bagi jawatan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri setelah calon dilantik adalah tidak wajar.

azlanMenurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda dilaporkan bertitah, tindakan sebegitu boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik, di samping mewujudkan suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor telah memerintahkan Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon sebelum calon-calon dipersembahkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) kepada baginda.

"Bukannya berbincang selepas jawatan SUK Selangor telah diperkenankan oleh baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan.

"Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 bagi mengembalikan kuasa pelantikan SUK Negeri kepada Sultan Selangor, baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapatkan perkenan baginda terlebih dahulu," kata Mohamad Munir.

Berikut ialah kenyataan akhbar oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang disiarkan oleh Berita Harian Online.

"Kenyataan akhbar ini dibuat untuk menjelaskan perkara dan kedudukan sebenar yang timbul berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan diadakan pada hari Khamis, 6 Januari 2011, di Istana Bukit Kayangan akan tetap diteruskan.

Ini adalah kerana sepengetahuan D.Y.M.M Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, Dato' Haji Mohamed Khusrin Munawi telah dilantik mengikut prosedur yang ditetapkan dan selaras dengan peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Pada majlis tersebut akan diadakan upacara Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor kepada D.Y.T.M Raja Muda Selangor sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor kerana ketika Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran kepada penerima-penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 D.Y.M.M. Sultan Selangor yang berlangsung pada 11 haribulan Disember 2010, D.Y.T.M. Raja Muda Selangor berada di luar negara.

Selain daripada itu, pada majlis tersebut juga akan diadakan upacara Angkat Sumpah Taat Setia Penjawat Jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli Dewan di-Raja Selangor, pelantikan dan Angkat Sumpah Jaksa Pendamai Selangor, pelantikan Ahli Majlis Agama Islam Selangor dan Pelantikan Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Selangor.

Semua upacara diadakan pada satu masa adalah untuk menjimatkan masa dan kewangan.

Majlis tersebut bukanlah merupakan majlis pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru tetapi Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan untuk berkhidmat dengan taat, setia dan jujur kepada negeri Selangor.

Berikutan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru, selaras dengan peruntukan Fasal (3) dan (4) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru hendaklah mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam prosiding Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Dewan Negeri setelah mengangkat dan menandatangani Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Y.A.B. Dato' Menteri Besar.

Berkenaan dengan tulisan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Y.B Shuhaimi bin Haji Shafiei pada 30 haribulan Disember 2010 yang disiarkan di dalam laman blog beliau.

Dimaklumkan bahawa pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 sebagaimana yang dinyatkan oleh beliau, kerana Baginda hanya memberikan perkenan dan tidak menjalankan fungsi dan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh. Perkenan Baginda tidak tertakluk kepada peruntukan Fasal (1) dan (1A) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 Perkara 55(1)(1A).

Oleh itu, sindiran beliau yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor seolah-seolah sebagai "beraja di mata, bersultan di hati" adalah amat keterlaluan dan boleh mengelirukan rakyat.

Kenyataan beliau yang sedemikian boleh dianggap sebagai cuba memberi amaran kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor dan cuba mempengaruhi rakyat untuk membenci Baginda.

Mengulas mengenai artikel pada 29 haribulan Disember 2010 di dalam akhbar Sinar Harian mengenai "Pelantikan SUK Tidak Semestinya Dibuat SPA" oleh Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Y.B. Lau Weng San, yang menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan boleh dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN).

Walaupun terdapat SPAN di negeri-negeri lain yang boleh melantik Setiausaha Kerajaan, tetapi di negeri Selangor kuasa pelantikan tersebut adalah dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan (SPA) selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Mengulas mengenai kenyataan akhbar Y.A.B. Dato' Menteri Besar pada 3 Januari 2011 yang menyatakan D.Y.M.M. Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh SPA adalah kurang tepat.

Apa yang sebenarnya berlaku, nama-nama calon untuk jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri telah disembahkan kepada Baginda oleh Jabatan Perkhidmatan Awam yang menjalankan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan selaras dengan kedudukan Baginda sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor.

Baginda memberi perkenan kepada salah satu calon yang dicadangkan. Selepas itu, calon tersebut telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan melantik mengikut peruntukan Fasal (1) dan 2(a) Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Perkara ini telah menjadi amalan (convention) di negeri Selangor.

Mengenai cadangan Y.A.B. Dato' Menteri Besar untuk berbincang dengan JPA atau SPA, D.Y.M.M. Sultan Selangor sebenarnya telah menitahkan sepatutnya Y.A.B. Dato' Menteri Besar mengadakan perbincangan pemilihan calon ini sebelum calon-calon disembahkan oleh JPA atau SPA kepada Baginda dan bukannya berbincang selepas jawatan Setiausaha Kerajaan Selangor telah diperkenankan oleh Baginda dan dilantik seterusnya diisi oleh calon yang berkenaan.

Tindakan Y.A.B. Dato' Menteri Besar untuk berbincang dan memilih calon-calon lain dengan JPA atau SPA setelah calon dilantik adalah tindakan yang tidak wajar diambil kerana boleh menjatuhkan moral dan kredibiliti serta integriti calon yang telah dilantik dan juga boleh mewujudkan satu suasana yang tidak baik dalam perkhidmatan awam negeri Selangor.

Mengenai cadangan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dikatakan akan dibuat oleh Kerajaan Negeri bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada D.Y.M.M. Sultan Selangor, Baginda menitahkan supaya cadangan pindaan tersebut dipersembahkan untuk mendapat perkenan Baginda terlebih dahulu."

http://malaysiakini.com/news/152420

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...