Wednesday, January 5, 2011

Shukor: Saya sokong kembali kuasa sultan, bukan MB

Abdul Rahim Sabri
Jan 5, 11
4:32pm

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus mengulangi pendiriannya bahawa beliau menyokong usul untuk mengembalikan kuasa kepada sultan untuk melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menyokong usul kerajaan negeri untuk meminta perlembagan untuk memberi kuasa yang sama diberikan kepada menteri besar.

"Saya bersetuju kuasa itu diberi kepada sultan, (tetapi) tidak kepada menteri besar. Mengikut undang-undang, pelantikan itu melalui perkenan Tuanku, mengapa nak ubah-ubah.

"Kenapa nak samakan kuasa sultan dengan menteri besar. Buat apa saya nak sokong... mengapa nak tambah kuasa pada menteri besar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Abdul Shukor diminta mengulas kenyataan Speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim yang memetik kenyataannya dalam Berita Harian semalam sebagai berkata "jika wakil rakyat BN bersetuju dengan pindaan itu, mereka akan menyokong usul tersebut".

"Saya tak sebut atau sokong usul yang (bakal) dikemukakan...," kata beliau yang juga ADUN Kuang dan ketua Umno bahagian Selayang.

Semalam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan khas dengan ADUN dan ahli parlimen Selangor bagi memberi penjelasan mengenai cadangan untuk memanggil sidang DUN tergempar hujung bulan ini.

Pertemuan itu adalah bertujuan menjelaskan cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kepada negeri dan sultan, kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang.

Keputusan itu dibuat setelah perjumpaan Khalid dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika, Shah Alam kelmarin untuk menyelesaikan pertikaian isu pelantikan setiausaha kerajaan negeri yang baru Datuk Mohamad Khusrin Munawi 1 Januari lalu.

Khalid dilaporkan berkata Sultan Sharifuddin bertitah baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima ataupun menolak perlantikkan yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

http://malaysiakini.com/news/152505

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...