Wednesday, January 5, 2011

Polis palsu tumpas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.
RAMPAS...Amiruddin menunjukkan alat renjatan elektrik dan kad polis yang digunakan suspek.

AMPANG: Dua sahabat karib yang giat menjalankan kegiatan samun dengan menyamar polis tumpas selepas seorang daripada mereka ditahan awal pagi akhir bulan lalu.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit yang berusia 30-an aktif menyamar polis sejak lebih setahun lalu dengan memakai jaket polis dan menunggang sebuah motosikal bagi mencari sasaran mereka.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, berkata seorang daripada suspek mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan paling dikehendaki polis berhubung kegiatan penyamaran itu. Katanya, pada 30 Disember lalu kira-kira jam 3.30 pagi, suspek berkeliaran di Pandan Perdana, Ampang, di sini, sebelum cuba memperdaya seorang pelajar yang melalui kawasan itu.

“Suspek menahan kereta mangsa yang berusia 21 tahun itu dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mahu menjalankan pemeriksaan.


“Ketika pemeriksaan, suspek mengarahkan mangsa menyerahkan dua telefon bimbit dan wang RM20,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, di sini, semalam.


Menurutnya, ketika kejadian, sebuah kereta peronda polis yang melalui kawasan itu melihat gelagat suspek mencurigakan.

Suspek yang terkejut sejurus melihat kehadiran kereta peronda berkenaan melarikan diri, namun seorang daripada mereka diberkas dan seorang lagi meloloskan diri.


“Pemeriksaan polis menemui alat renjatan elektrik, sebilah pisau lipat dan sekeping kad tertera logo polis dipercayai digunakan mereka untuk menyamun.

“Selain itu, kami (polis) turut merampas sebuah motosikal yang digunakan mereka. Malah, siasatan lanjut mendapati motosikal itu motosikal curi yang dilaporkan hilang di Salak Selatan,” katanya.


Amiruddin berkata, suspek yang paling dikehendaki itu berkaitan kes penyamaran polis di Cheras, di sini, direman sehingga 10 Januari ini bagi membantu siasatan.


Katanya, polis kini giat mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan percaya suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat.


“Kami percaya dengan penahanan suspek itu, kami menyelesaikan lebih tujuh kes samun membabitkan penyamaran polis sepanjang tahun lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polispalsutumpas/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...