Wednesday, January 5, 2011

Bayi lelaki masih bernyawa ditemui





SHAH ALAM – Seorang bayi lelaki yang masih bernyawa ditemui di dalam sebuah beg di sebuah jalan di Tasik Titiwangsa, berhampiran Istana Budaya, di sini, semalam.

Lebih menyedihkan, bayi yang hanya dibalut dengan sehelai kain putih itu ditinggalkan di kawasan terpencil.

Bayi malang yang lahir tidak cukup bulan itu ditemui seorang wanita berusia 23 tahun, kira-kira jam 1.30 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad (gambar) berkata, sebelum itu, wanita tersebut curiga dengan isi kandungan beg berwarna hitam yang dilihat seakan-akan bergerak.

Katanya, wanita itu kemudiannya meminta bantuan polis bantuan Pos Malaysia yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata, wanita dan polis bantuan itu seterusnya membawa bayi tersebut ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Doktor yang merawat bayi itu memaklumkan bayi tersebut lahir tidak cukup bulan, berusia enam hingga tujuh bulan.

“Bayi itu dilaporkan stabil dan masih diberi rawatan rapi,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.

Katanya, bayi seberat satu kilogram dan tidak diketahui identitinya itu dipercayai baru dilahirkan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi balai berdekatan bagi membantu siasatan.

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8585661.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...