Wednesday, January 5, 2011

Program 2012 tak terjejas

PROGRAM Road To London 2012 yang bernilai ratusan jutaan ringgit tidak terjejas meskipun pemain badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei memilih untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun, apa yang membimbangkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong (gambar) adalah siapa akan menjadi rakan sepelatih Chong Wei, jika pemain nombor satu dunia mahu mengikut jejak langkah jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek.


“Program tidak akan terjejas jika dia boleh mengekalkan tahap permainan biarpun keluar BAM. Apa yang saya bimbangkan adalah rakan sepelatih. “Chong Wei ada Misbun tapi siapa pula rakan sepelatihnya kalau dia keluar daripada BAM, jadi dia kena fikir perkara itu,” katanya.

Juara Seluruh England 2010 itu sebelum ini dikhabarkan akan mengikut jejak Misbun meninggalkan BAM selepas jurulatih itu meletak jawatan.


Isu itu bagaimanapun belum diselesaikan kerana Presiden BAM, Datuk Mohd Nadzmi Salleh belum bertemu dan berbincang dengan Misbun.


Zoklples berkata, jika Chong Wei memilih untuk mengikut jurulatihnya, Misbun, MSN tidak akan menghalang dan melihat keputusan itu dari sudut positif.

BAM sebaliknya harus kekal positif andai Chong Wei mahu mewakili negara dalam apa sahaja kejohanan sekalipun dengan memberi kebenaran untuk beraksi tanpa perlu menyekat penyertaannya.


“Kita ambil saja Indonesia sebagai contoh. Tiada satu pemain bernaung di bawah PBSI (Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia) tapi bila pertandingan PBSI menguruskannya.

“Lebih banyak kelab lebih baik dan mungkin mempertingkatkan lagi kemajuan sukan itu tapi apa membimbangkan saya sekarang ini adalah rakan sepelatih. Chong Wei harus fikirkan perkara itu jika memilih keluar dari BAM,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Program2012takterjejas/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...