Wednesday, January 5, 2011

Tinggalkan skuad negara


ARIVALAGAN (kiri) telah banyak mengorbankan tenaga untuk melahirkan atlet berwibawa.


ATLET karate negara mengancam untuk meninggalkan skuad kebangsaan jika Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) kekal dengan keputusan mereka memecat jurulatih kebangsaan, P. Arivalagan.

Majoriti atlet karate negara bersetuju untuk berbuat demikian jika jurulatih yang telah banyak membantu mereka meraih kejayaan kepada negara disingkirkan.

Salah seorang atlet, L. Kunaselan berkata beliau dan rakan-rakanya terkejut serta kecewa dengan tindakan yang diambil oleh MAKAF dan berharap badan induk itu akan mengubah keputusan tersebut sebelum terlambat.

“Arivalagan telah banyak membantu kami daripada tahap awal hinggalah ke hari ini. Tanpa beliau kami mungkin tidak akan berada di tahap sekarang,” katanya semalam.

Kunaselan berkata, mereka telah berbincang sesama sendiri dan mengambil keputusan untuk menarik diri jika MAKAF masih kekal dengan keputusannya untuk menamatkan khidmat Arivalagan berkuat kuasa 31 Disember lalu.

Katanya, anggota skuad kebangsaan yang mempunyai 20 atlet, termasuk sembilan atlet elit, akan mengadakan perjumpaan dengan pegawai MAKAF Khamis ini bagi membincangkan isu Arivalagan.

Kunaselan antara empat nama awal yang disenaraikan untuk mengalas cabaran negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014. Beliau berkata, Arivalagan bukan hanya seorang jurulatih yang tegas tetapi sering mengambil berat keperluan semua anak didiknya.

Katanya, adalah tidak wajar bagi MAKAF memberi alasan mengambil jurulatih dari Iran bagi tujuan untuk meningkatkan tahap pencapaian skuad kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Arivalagan berjaya bimbing skuad negara membawa pulang dua pingat emas dari Sukan Asia, Guangzhou pada November lalu. Adalah tidak adil sekiranya jasa beliau tidak dihargai oleh MAKAF,” katanya.

Pada Sukan Asia 2010 Di Guangzhou, skuad karate negara di bawah bimbingan Arivalagan menang dua pingat emas yang disumbangkan oleh Ku Jin Keat dalam acara Kata lelaki dan R. Puvaneswaran dalam acara Kumite lelaki bawah 55kg.

Arivalagan juga berjaya membimbing atlet kebangsaan memenangi lapan pingat emas pada Sukan SEA 2007 dan Sukan SEA 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...