KUALA LUMPUR: Biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi jaminan bekalan minyak masak negara ini mencukupi, tinjauan sekitar ibu kota mendapati sebaliknya.
Ini berikutan rungutan pemborong mahupun peruncit yang tidak memperoleh bekalan bahan itu. Malah, mereka menganggap kekurangan komoditi itu adalah terburuk dalam sejarah biarpun ia pernah berlaku beberapa kali sehingga mengakibatkan mereka dimarahi pelanggan. Kelmarin, Timbalan Menteri, Datuk Tan Lian Hoe memberi jaminan harga minyak masak tidak dinaikkan dan bekalannya mencukupi serta tindakan diambil termasuk menyelaraskan dengan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.
Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati kebanyakan kedai runcit dan pemborong kehabisan bekalan barang kawalan itu berikutan pesanan yang dibuat sejak November lalu dihantar dalam kuantiti yang sedikit oleh pembekal. Malah, ada antara peruncit tidak sedar berlakunya peningkatan harga bekalan daripada pembekal. Tinjauan juga mendapati minyak masak kampit satu kilogram (kg) menjadi pilihan pengguna domestik habis di pasaran. Bagaimanapun, beberapa jenis minyak masak 5kg terutamanya yang berjenama masih terdapat di pasar raya tetapi dihadkan pembeliannya dua botol setiap pembeli. Pemborong, Chong Yoke Ching, 53, berkata pelbagai rungutan didengar apabila pelanggan sehingga memaksanya mengehadkan penjualan minyak masak iaitu 1kg untuk pengguna domestik dan minyak masak dalam botol 5kg untuk peniaga.
“Kami kasihan mendengar keluhan pelanggan kerana kebanyakannya peniaga makanan, namun tiada apa yang mampu dilakukan kerana kami sendiri tiada bekalan,” katanya, semalam.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemborong_peruncitkehabisanbekalan/Article/index_html
No comments:
Post a Comment