Wednesday, January 5, 2011

Kenny nafi jadi punca

TEKA-teki mengenai punca sebenar peletakan jawatan Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih perseorangan negara masih menjadi persoalan.

Selepas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk James Selvaraj menafikan dia menjadi puncanya, kini wujud pula andaian mengatakan pengurus besar persatuan itu Kenny Goh menjadi dalang.


Mungkin juga andaian itu timbul selepas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei dalam Arena Metro Isnin lalu mengeluarkan kenyataan bahawa ada pegawai yang hanya pandai cakap tetapi tidak ada pengetahuan dalam sukan, apa lagi Kenny bukanlah individu yang ada latar belakang sukan.

Kenny yang dihubungi bagaimanapun menganggap Chong Wei tidak patut mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana menurutnya pemain itu tidak berada dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan yang diadakan Rabu lalu.


“Dia tidak patut beri komen begitu kerana dia tiada dalam mesyuarat,” kata Kenny bagaikan memberi gambaran punca 'retak menanti belah' itu bertitik tolak dalam mesyuarat minggu lalu yang membabitkan jawatankuasa dan jurulatih.


Namun bila ditanya adakah dia menjadi punca peletakan jawatan Misbun, Kenny berkata: “Biarkan apa orang nak cakap pasal saya. Mereka juga tiada dalam mesyuarat itu. Saya hanya beri pendapat dalam mesyuarat, saya tidak tahu jika itu menjadi puncanya, lebih baik tanya Misbun sendiri.” Kenny juga berkata bahawa selama ini tidak pernah timbul isu membabitkannya dengan Misbun.

“Saya sudah lama bersama persatuan, kalau betul sayalah puncanya kenapa baru sekarang perkara ini berlaku,” kata Kenny lagi.


“Sekarang saya hanya mahu perkara ini selesai dengan seberapa segera, dengan cara terbaik demi kepentingan negara. Biarlah kami selesaikan secara dalaman supaya memberi kedua-dua puas hati,” kata Kenny enggan mengulas lebih lanjut kemelut itu.

Sementara itu Setiausaha Kehormat, Ng Chin Chai berkata cara terbaik adalah Presiden Datuk Mohd Nadzmi Salleh bertemu sendiri dengan Misbun.


“Saya tidak mahu komen kerana tiada kebaikan menyalahkan sesiapa ketika ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kennynafijadipunca/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...