Wednesday, July 6, 2011

17 ahli, pemimpin PAS direman di Melaka

17 ahli, pemimpin PAS direman di Melaka
Elissa Helmy
Jul 4, 11
1:15pm

Mahkamah Majistret Jasin hari ini membenarkan perintah tahanan reman selama tiga hari terhadap 17 ahli PAS termasuk seorang pemimpin yang ditangkap dipercayai terbabit mempromosi perhimpunan BERSIH 2.0, di Simpang Kemendor, semalam.

Perintah reman yang dikeluarkan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin itu dipohon oleh pegawai Penyiasat, Inspektor Mudzaffar Shah Zulkefli bagi tujuan melengkapkan kertas siasatan.

Bagaimanapun, sebelum itu, peguam yang mewakili 17 ahli PAS terbabit, Damian Yeo memohon mahkamah membatalkan permohonan reman tersebut dengan alasan mereka telah memberi kerjasama penuh dalam siasatan percakapan rekod di Balai Polis Jasin.

"Selain itu, tangkapan oleh pihak polis dilakukan secara rambang dan kesemua yang ditahan kebanyakannya mempunyai penyakit darah tinggi dan asma," katanya.

Bagaimanapun Mudzaffar Shah memberitahu mahkamah bahawa kesemua yang ditahan berada dalam satu kawasan mempunyai barang-barang yang berkaitan perhimpunan BERSIH.

Selepas meneliti hujah kedua-dua belah pihak, Erry Shahriman kemudian membenarkan permohonan perintah reman selama tiga hari sehingga 6 Julai depan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Suprintendan Che Suza Che Hitam berkata, serbuan dibuat di Dataran Hamas, Markaz PAS Jasin, kira-kira jam 1.25 petang.

Katanya, ketika mereka terbabit ditahan, terdapat 113 Kameja-T tanpa kolar berwarna kuning di atas sebuah meja dengan tertulis perkataan BERSIH telah dirampas manakala orang yang berada di sekeliling meja ditahan.

"Turut ditemui 303 risalah promosi dan mempelawa ahli untuk menyertai perhimpunan haram bersih pada 9 Julai ini serta sebuah buku resit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, hari ini.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia 25 hingga 70 tahun termasuk seorang kakitangan kerajaan dan bekas calon pilihan raya Kecil Merlimau yang lalu.

"Siasatan terhadap mereka masih diteruskan malah akan dilakukan sehingga ke akar umbi bagi mengetahui siapa pencetak dan pengedar baju-T tersebut dan tindakan tegas serta jelas akan diambil terhadap mereka yang didapati terlibat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan kerana mengedar peralatan atau apa-apa risalah mengenai pertubuhan dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana menghasut.

http://malaysiakini.com/news/168841

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...