Wednesday, July 6, 2011

Kontraktor dituduh miliki tulisan, foto BERSIH

Jul 6, 11 4:16pm

Seorang kontraktor pemotong rumput hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Selangor kerana dituduh memiliki kenyataan bergambar dan tulisan yang mempunyai kepentingan pertubuhan haram.

Abdul Latif Zakaria, 41, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tengah, Sabak Bernam itu didakwa memiliki kenyataan bergambar dan tulisan yang dikeluarkan bagi tujuan kepentingan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang iaitu Bersih 2.0 di rumah Lot 1868, Jalan Batu 38 Baruh, Sabak Bernam, Selangor pada jam 7.40 petang Ahad lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966, yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azari Harun memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 terhadap Abdul Latif sebab pertuduhan yang dihadapinya serius kerana ia dikaitkan dengan hasrat sebuah kumpulan untuk mengadakan perhimpunan haram sebelum ini.

Beliau berkata ribuan laporan polis dibuat mengenai hasrat kumpulan itu yang dilihat boleh mengancam kestabilan dan ketenteraman awam negara.

Peguam yang mewakili tertuduh, Mohd Radzlan Jalaludin pula berhujah bahawa hanya mahkamah yang ada kuasa mengharamkan sesuatu pertubuhan dan bukannya pihak lain.

Mohd Azari sebaliknya berhujah bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa mengikut Seksyen 5 Akta Pertubuhan untuk mengharamkan sesuatu pertubuhan.

Noor Farah Hazwani kemudiannya mengenakan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin terhadap Abdul Latif dan menetapkan 21 Julai ini untuk membuat keputusan berhubung bantahan awal yang dikemukakan Mohd Radzlan bagi mengetepikan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya di Mahkamah Majistret Sabak.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/169103

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...