Jul 6, 11
2:19pm
Walaupun dua bulan sudah berlalu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri dalam pertuduhan meliwat ke atas dirinya, namun peguamnya masih belum diberi akses untuk menyoal saksi utama yang ditawarkan, iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Ketika mendedahkan perkara itu, Karpal menyoal bagaimana pihaknya dapat membuat persiapan jika pihak polis dan pendakwaan gagal membekalkan saksi berkenaan.
"Hingga hari ini, kita hanya mampu menyoal lima saksi termasuk doktor Pusrawi, tetapi mereka bukan saksi utama. Pada mulanya, pihak polis dan pendakwaan banyak membantu. Namun, sekarang mereka tidak lagi beri bantuan.
"Malah pegawai penyiasat, Supt Jude Blacious Pereira, juga tidak lagi kelihatan. Mahkamah telah mengarahkan Jude dan pihak pendakwaan untuk membantu tetapi tiada yang menghulurkan pertolongan. Macam mana kita nak sediakan pembelaan?” soal Karpal.
Katanya lagi, sehingga sekarang tiada persiapan dibuat bagi pihak pembelaan menyoal Najib dan Rosmah.
Sebelum ini kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju saksi disoal oleh peguam di kompleks mahkamah Jalan Duta.
"Kenapa harus kita pergi Pejabat Perdana Menteri - kita mahu tempat berkecuali dan ini sudah dipersetujui sebelum ini,” kata Karpal.
Pihak pendakwaan menawarkan 72 saksi kepada pihak pembelaan, termasuk 27 saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan dalam kes membaitkan Anwar itu.
No comments:
Post a Comment